KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi Malaysia kekal positif pada Mei 2026 apabila Indeks Pelopor (IP) mencatatkan pertumbuhan 0.8 peratus kepada 114.4 mata berbanding 113.5 mata dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, peningkatan indeks itu dipacu prestasi positif beberapa komponen utama, khususnya penawaran wang benar M1 yang meningkat 9.2 peratus serta import benar semikonduktor yang berkembang 2.7 peratus.
Menurut jabatan itu, prestasi berkenaan selaras dengan keadaan mudah tunai ekonomi yang stabil serta pengembangan aktiviti pengeluaran berkaitan komponen elektronik.
"Namun begitu, dari perspektif bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.5 peratus pada Mei 2026 susulan penyederhanaan dalam tiga daripada tujuh komponen.
"Meneliti trend arah aliran jangka panjang terlicin pada Mei 2026, IP kekal berada di bawah 100.0 mata," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, DOSM berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik yang stabil, selain keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global serta perkembangan teknologi semasa.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa meningkat 2.5 peratus kepada 131.2 mata pada Mei 2026 berbanding 128.0 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.
Prestasi berkenaan disokong pertumbuhan dalam hampir kesemua komponen, kecuali kapasiti penggunaan dalam sektor pembuatan.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, IS menurun 0.3 peratus pada Mei 2026 berikutan prestasi lebih perlahan dalam beberapa komponen, terutama kapasiti penggunaan dalam pembuatan yang susut 0.4 peratus.
DOSM berkata, keadaan itu mencerminkan penyederhanaan aktiviti ekonomi semasa susulan ketidakpastian global yang masih berterusan.
- Bernama
























