KUALA LUMPUR: Kestabilan dasar dan politik, selain pendekatan perdagangan yang proaktif, terus menyokong keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia, sekali gus menyumbang kepada prestasi positif pelaburan langsung asing (FDI) negara pada 2025.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata secara keseluruhannya prestasi FDI Malaysia tahun lalu kekal positif meskipun ekonomi global terus berdepan persekitaran yang mencabar.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata keyakinan pelabur turut diperkukuh menerusi pelaksanaan tiga Perjanjian Pelaburan Antarabangsa (IIA) baharu, termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi EFTA-Malaysia.
"Secara keseluruhannya, prestasi FDI Malaysia pada 2025 secara jelas adalah positif.
"Persekitaran dasar dan politik yang stabil serta dasar perdagangan yang proaktif, termasuk tiga IIA baharu seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi EFTA-Malaysia, membantu mengekalkan keyakinan pelabur," katanya.
Menurut beliau, Malaysia merekodkan aliran masuk FDI bersih kira-kira AS$15 bilion pada 2025, sekali gus meletakkan negara di tangga ke-26 dunia berdasarkan ukuran berkenaan.
Beliau berkata, stok FDI Malaysia turut meningkat 21 peratus tahun lalu sehingga menghampiri paras Vietnam, selain terdapat petunjuk awal bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mula diterjemahkan kepada pelaburan sebenar.
Apurva berkata, Malaysia turut memperkukuh kredibiliti pematuhan FDI menerusi kawalan lebih ketat terhadap permit eksport, aktiviti pemindahan dagangan (transshipment) dan sektor semikonduktor bagi mengurangkan risiko negara dilihat sebagai laluan lencongan perdagangan.
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa aliran masuk FDI bersih dari Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia mencatatkan nilai negatif kira-kira AS$0.14 bilion pada 2025.
Namun, katanya, angka itu tidak wajar ditafsirkan sebagai pengunduran pelabur AS kerana FDI lazimnya berubah mengikut kitaran projek dan tempoh pelaburan, manakala AS masih kekal sebagai pelabur keempat terbesar Malaysia berdasarkan stok FDI.
Apurva berkata, dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, keupayaan Malaysia menarik FDI berkualiti perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.
Menurut beliau, usaha itu juga perlu disokong kaedah yang lebih jelas bagi mengukur impak pelaburan terhadap ekonomi, khususnya di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan.
























