BH Online
Ringkasan Berita

Firma logistik tempatan tertekan saingan harga syarikat China

KUALA LUMPUR: Pemain logistik tempatan berdepan persaingan sengit daripada syarikat logistik China yang menawarkan harga perkhidmatan tidak rasional, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.
Firma logistik tempatan tertekan saingan harga syarikat China

Sebuah kapal kargo berlabuh di terminal kontena pelabuhan Qingdao, wilayah Shandong timur China. - AFP

KUALA LUMPUR: Pemain logistik tempatan berdepan persaingan sengit daripada syarikat logistik China yang menawarkan harga perkhidmatan tidak rasional, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Menurut Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, keadaan itu berlaku ketika pasaran e-dagang Malaysia terus berkembang, dengan nilai dagangan kasar diunjurkan meningkat kepada RM1.5 trilion menjelang 2027 berbanding RM1.2 trilion pada 2024.

Katanya, nilai dagangan kasar e-dagang tempatan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lima peratus bagi tempoh 2024 hingga 2027.

"Pertumbuhan ini mewujudkan peluang kepada sektor logistik, namun pemain tempatan seperti Swift Haulage Bhd berdepan tekanan persaingan daripada syarikat logistik China," katanya dalam nota penyelidikannya.

Beliau berkata, syarikat logistik China menawarkan harga yang tidak selari dengan keadaan pasaran walaupun kos operasi terus meningkat, termasuk tenaga kerja dan pematuhan had berat kenderaan yang lebih ketat.

Tambahnya, syarikat logistik China lazimnya memasuki pasaran Malaysia seiring kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dari negara itu yang membuka kilang baharu.

"Persaingan harga ini mengehadkan keupayaan pemain tempatan memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan perdagangan dan e-dagang yang terus berkembang.

"Pada masa sama, Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta perubahan rantaian bekalan global," katanya.

Eksport Malaysia ke AS meningkat 97.7 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026, dipacu permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), sekali gus menjadikan AS destinasi eksport terbesar negara sejak Februari lalu.

Dari sudut kos operasi, pemain logistik yang layak masih boleh mendapatkan diesel pada harga tetap RM2.15 seliter menerusi kad subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Bagi pengendali pelabuhan yang tidak layak menerima subsidi diesel, mereka mengurus penggunaan bahan api melalui elektrifikasi armada serta pelaksanaan inisiatif hijau berasaskan tenaga solar.

Sementara itu, Kenanga mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor pelabuhan dan logistik, namun menaik taraf Bintulu Port Holdings Bhd kepada 'Outperform' dengan harga sasaran RM7 sesaham.

Menurut bahagian penyelidikan bank pelaburan itu, unjuran berkenaan mengambil kira jangkaan kenaikan tarif pelabuhan bermula 2027 susulan penyerahan kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada Jun lalu, selepas tiada semakan tarif sejak 1993.

Video Terkini

Berita Berkaitan