BH Online
Ringkasan Berita

Malaysia antara negara ASEAN terendah terima tarif baharu AS

KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 Amerika Syarikat (AS), susulan dakwaan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Malaysia antara negara ASEAN terendah terima tarif baharu AS

Gambar fail. Pelabuhan Tanjung Pelepas.

KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 Amerika Syarikat (AS), susulan dakwaan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Selain Malaysia, Kemboja dan Indonesia turut dikenakan kadar duti sama.

Perkara itu diumumkan oleh Wakil Perdagangan AS (USTR), Duta Jamieson Greer menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Washington pada Khamis.

Greer berkata, USTR mengambil tindakan muktamad atas arahan Presiden AS, Donald Trump di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 dengan mengenakan tarif ke atas 60 ekonomi berikutan dakwaan kegagalan negara terbabit melaksanakan serta menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

"Tindakan hari ini dibuat susulan siasatan yang dijalankan Pejabat USTR, termasuk dua pusingan pendengaran awam, penerimaan lebih 2,100 ulasan awam serta libat urus dengan rakan dagang kami bagi menangani kebimbangan yang telah lama dibangkitkan," katanya.

Beliau berkata, langkah itu dijangka meningkatkan kebajikan pekerja di seluruh dunia, selain menangani pencabulan hak asasi manusia serta amalan perdagangan yang menjejaskan persaingan.

"Saya mengalu-alukan tindakan segera rakan dagang yang telah melaksanakan larangan import berkaitan buruh paksa dan berharap penguatkuasaannya dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.

Menurut USTR, ekonomi yang sudah melaksanakan larangan import berkaitan buruh paksa, atau komited untuk berbuat demikian serta menguatkuasakannya menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART), atau melaksanakan sebahagian rejim berkesan bagi menghalang import barangan tertentu yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, dikenakan duti Seksyen 301 pada kadar 10 peratus.

Bagi ekonomi tertentu, kadar berkenaan dikenakan selepas mengambil kira duti negara paling diberi layanan (Most-Favoured-Nation/MFN) bagi produk berkaitan.

Pada masa sama, bagi ekonomi lain, USTR menetapkan kadar duti Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus yang turut mengambil kira kadar duti MFN bagi produk berkaitan.

USTR turut memutuskan untuk mewujudkan, apabila sesuai, kuota kadar tarif bagi Bangladesh, Kemboja, Indonesia dan Malaysia berdasarkan jumlah import input dari AS oleh setiap ekonomi berkenaan.

Langkah itu bertujuan menggalakkan negara terbabit meningkatkan import kapas dan produk tekstil dari AS, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap input daripada sumber lain yang berkemungkinan mengandungi unsur buruh paksa.

- Bernama

Video Terkini

Berita Berkaitan