BH Online
Ringkasan Berita

Sukuk global Malaysia catat permintaan tertinggi pelabur

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menerbitkan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (RM6.4 bilion) yang menerima permintaan 4.7 kali ganda berbanding nilai tawaran, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh spread paling rendah dalam sejarah penerbitan sukuk global negara.
Sukuk global Malaysia catat permintaan tertinggi pelabur

Gambar fail. Bangunan Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menerbitkan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (RM6.4 bilion) yang menerima permintaan 4.7 kali ganda berbanding nilai tawaran, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh spread paling rendah dalam sejarah penerbitan sukuk global negara.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, buku tempahan sukuk berkenaan memuncak melebihi AS$9.5 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi serta agenda reformasi fiskal Malaysia.

Penerbitan itu membabitkan Sijil Amanah tempoh 5.75 tahun bernilai AS$850 juta dan tempoh 10 tahun bernilai AS$650 juta.

Permintaan kukuh berkenaan membolehkan harga akhir diketatkan sebanyak 30 mata asas bagi kedua-dua tranche kepada 15 mata asas dan 25 mata asas berbanding hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sambutan memberangsangkan itu mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kredibiliti dasar ekonomi serta prospek pertumbuhan Malaysia.

Beliau berkata, agenda reformasi ekonomi, strategi pengurusan hutang berhemat dan komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan mampan terus mendapat kepercayaan pelabur berkualiti tinggi walaupun persekitaran global kekal mencabar.

"Dasar ekonomi Malaysia yang berpandukan kerangka Ekonomi MADANI telah memacu negara ke landasan yang tepat. Kami berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan awam, mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan meletakkan asas kukuh bagi meningkatkan daya tahan jangka panjang Malaysia.

"Langganan yang jauh melebihi jumlah ditawarkan dengan spread paling ketat pernah dicapai mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap prospek ekonomi dan kredibiliti dasar Malaysia.

"Ia membuktikan agenda reformasi, strategi pengurusan hutang yang berhemat serta komitmen kami terhadap pertumbuhan mampan terus mendapat kepercayaan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MOF, penerbitan itu mengekalkan penanda aras kedaulatan Malaysia di pasaran kewangan antarabangsa, selain menjadi rujukan harga kepada syarikat berkaitan kerajaan dan korporat tempatan.

Sukuk berkenaan distrukturkan berasaskan hak kepada perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel bandar Malaysia menggunakan konsep Manafae, selaras garis panduan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

MOF berkata, struktur itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran sukuk global dan hab kewangan Islam.

Kedua-dua tranche menerima penarafan A3 daripada Moody's Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings, sejajar dengan penarafan kredit kedaulatan Malaysia yang mempunyai prospek stabil.

Sesi libat urus dengan pelabur antarabangsa sebelum penerbitan sukuk itu menarik penyertaan lebih 140 pelabur berkualiti, termasuk dana kekayaan negara, institusi rasmi, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans dan dana pencen.

Hasil penerbitan berkenaan akan digunakan bagi tujuan patuh Syariah kerajaan, termasuk membiayai perbelanjaan pembangunan serta membiayai semula obligasi sedia ada.

Video Terkini

Berita Berkaitan