WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus dan 12.5 peratus ke atas barangan dari 60 rakan dagang, termasuk Kesatuan Eropah (EU), mulai Jumaat susulan dakwaan negara berkenaan gagal menguatkuasakan larangan buruh paksa, seiring tamatnya tarif sementara global sebanyak 10 peratus.
Langkah itu adalah usaha terbaharu Rumah Putih untuk mengembalikan visi kempen Trump yang mahu mengenakan tarif secara meluas di peringkat global selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan tarif timbal balik antara 10 peratus hingga 50 peratus yang diperkenalkan tahun lalu di bawah undang-undang darurat negara bagi mengurangkan defisit perdagangan AS.
Tarif baharu yang diumumkan menerusi notis Daftar Persekutuan pada Khamis akan meliputi 99.4 peratus daripada keseluruhan import AS, namun beberapa barangan dikecualikan termasuk minyak dan gas, baja serta makanan tertentu.
Tarif itu dikenakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, sekali gus membolehkan pentadbiran Trump mengekalkan kadar tarif minimum ke atas hampir semua import AS walaupun berdepan keputusan Mahkamah Agung. Dari sudut perundangan, tarif baharu itu juga dijangka lebih sukar dicabar kerana Seksyen 301 pernah dipertahankan dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini.
Sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Agung pada Februari, Trump memperkenalkan tarif sementara 10 peratus selama 150 hari yang akan tamat pada jam 12.01 tengah malam waktu Timur AS (0401 GMT) Jumaat. Tarif baharu itu akan berkuat kuasa tepat pada waktu sama, manakala barangan yang masih dalam perjalanan diberi pengecualian sehingga jam 12.01 tengah malam waktu Timur AS pada 28 Julai.
"Amerika Syarikat telah menguatkuasakan larangan import membabitkan buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan melaksanakannya dengan tegas. Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama.
"Tindakan hari ini akan mula membetulkan amalan yang bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia, malah menjejaskan perdagangan secara tidak adil demi meningkatkan kebajikan pekerja di seluruh dunia," kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Sebelum ini, Greer memberi jaminan bahawa bagi negara yang sudah memeterai perjanjian perdagangan dengan Washington yang menetapkan had kadar tarif AS, tarif baharu berkaitan buruh paksa itu tidak akan melebihi kadar maksimum yang dipersetujui.
Mengikut keputusan muktamad, AS akan mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari Argentina, Bangladesh, Britain, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Malaysia, Mexico, Pakistan, Sri Lanka serta Trinidad dan Tobago.
EU, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland pula dikenakan kadar yang apabila digabungkan dengan tarif sedia ada di bawah layanan negara paling digemari (MFN), menjadikan kadar keseluruhan antara 10 peratus hingga 12.5 peratus.
Sebanyak 38 negara lain dikenakan tarif 12.5 peratus, termasuk China yang dituduh AS menempatkan etnik Uyghur di kem buruh, dakwaan yang dinafikan Beijing.
Pegawai pentadbiran Trump turut memaklumkan kepada pihak China bahawa mereka bercadang mengembalikan tarif penggal kedua Trump ke atas barangan China kepada 20 peratus seperti dipersetujui dalam gencatan perdagangan bersama Presiden China, Xi Jinping pada November 2025, tanpa melebihi kadar itu.
Sebelum langkah baharu ini, kadar tarif ke atas barangan China telah dikurangkan kepada 10 peratus, tidak termasuk tarif 25 peratus yang dikenakan ketika penggal pertama pentadbiran Trump terhadap barangan perindustrian.
Langkah berkenaan menerima bantahan segera daripada beberapa negara.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata, "Tiada asas untuk mengenakan tarif ini ke atas Norway kerana kami sudah mempunyai peraturan jelas bagi menghalang perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa."
Australia dan Brazil pula menyifatkan tarif baharu itu tidak berasas serta akan berusaha mendapatkan pengecualian, manakala Kanada yang pada Isnin lalu dikenakan tarif baharu ke atas barangan bernilai AS$20 bilion memberi reaksi lebih sederhana terhadap tarif unilateral berkenaan.
"Kami akan terus berunding secara konstruktif dengan Amerika Syarikat berhubung isu ini serta beberapa perkara lain dalam tempoh beberapa minggu akan datang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara," kata Menteri Perdagangan AS-Kanada, Dominic LeBlanc.
Gabenor Massachusetts, Maura Healey, turut mengkritik tarif berkenaan dengan menyatakan ia "akan meningkatkan kos, menjejaskan perniagaan dan melemahkan daya saing Amerika. Tiada siapa mampu menanggung kesannya."
Rakan kongsi undang-undang perdagangan di Wiley Rein, Tim Brightbill, berkata tarif baharu berkaitan buruh paksa itu pada asasnya menggantikan tarif sementara 10 peratus yang tamat pada Jumaat.
"Seperti dijangka, tarif buruh paksa sebahagian besarnya mengekalkan kadar tarif semasa yang dipersetujui menerusi pelbagai perjanjian perdagangan timbal balik dan menggantikan tarif 10 peratus di bawah Seksyen 122 yang tamat pada Jumaat," katanya.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran Trump menolak dakwaan bahawa tarif baharu itu sekadar menggantikan tarif sementara walaupun kadar, masa pelaksanaan dan skopnya hampir sama.
Menurut pegawai itu, AS mempunyai larangan import terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa yang lebih ketat berbanding negara lain, sekali gus mewujudkan kelebihan perdagangan tidak adil kepada pesaingnya.
Katanya, ahli Kongres daripada Parti Republikan dan Demokrat sejak sekian lama menggesa penghapusan buruh paksa daripada rantaian bekalan global.
"Kami sebenarnya hanya menyahut gesaan berkenaan," katanya.
Peguam perdagangan serta bekas pegawai Jabatan Perdagangan AS, Ryan Majerus, berkata tarif baharu itu dijangka lebih sukar dicabar di mahkamah kerana Seksyen 301 telah melepasi beberapa cabaran undang-undang sebelum ini.
"Sebaik sahaja tarif Seksyen 301 dikuatkuasakan, kerajaan mempunyai fleksibiliti yang besar untuk melaraskannya.
"Ia ibarat menggunakan tukul besi. Pada masa sama, ia bertujuan mengekalkan kadar asas 10 peratus dan mereka percaya langkah itu mempunyai perlindungan undang-undang yang kukuh apabila dibawa ke mahkamah," katanya.
Pegawai kanan pentadbiran Trump berkata, pelbagai barangan akan dikecualikan daripada tarif baharu termasuk minyak dan gas, baja, makanan tertentu serta produk yang sudah dikenakan tarif keselamatan negara di bawah Seksyen 232 seperti kenderaan, keluli, aluminium dan tembaga.
Selain itu, produk yang mematuhi Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) turut dikecualikan berikutan rantaian bekalan Amerika Utara yang saling berkait rapat serta kandungan komponen AS yang tinggi dalam produk berkenaan. - Reuters
























