BH Online
Ringkasan Berita

Subsidi minyak cecah RM40 bilion cabar ketahanan fiskal kerajaan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah sekitar RM40 bilion tahun ini semakin mencabar kemampanan fiskal kerajaan, terutama jika ketidaktentuan geopolitik global terus mendorong harga minyak kekal tinggi atau tidak menentu.
Subsidi minyak cecah RM40 bilion cabar ketahanan fiskal kerajaan - Penganalisis

Kerajaan wajar mempercepatkan peralihan kepada subsidi bersasar sepenuhnya bagi mengurangkan ketirisan - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah sekitar RM40 bilion tahun ini semakin mencabar kemampanan fiskal kerajaan, terutama jika ketidaktentuan geopolitik global terus mendorong harga minyak kekal tinggi atau tidak menentu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi & Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata dalam jangka pendek kerajaan masih mempunyai ruang untuk menampung beban itu menerusi peningkatan hasil petroleum.

Bagaimanapun, katanya kebergantungan berterusan kepada subsidi berskala besar dalam tempoh sederhana berisiko meningkatkan tekanan terhadap defisit fiskal serta mengehadkan ruang kerajaan membiayai sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan.

"Jumlah subsidi bahan api sekitar RM40 bilion sememangnya besar dan dalam keadaan semasa, ia semakin mencabar dari sudut kemampanan fiskal. Jika ketidaktentuan geopolitik berpanjangan menyebabkan harga minyak global kekal tinggi atau tidak menentu, beban subsidi kerajaan dijangka terus meningkat," katanya kepada BH.

Minyak mentah Brent baru-baru ini meningkat melepasi paras AS$95 setong buat kali pertama dalam tempoh hampir enam minggu, susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat yang mencetuskan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada bekalan minyak global.

Mengulas penyediaan Belanjawan 2027, Dr Mohamad Idham berkata, kerajaan wajar mempercepatkan peralihan kepada subsidi bersasar sepenuhnya bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan hanya diterima golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, pendekatan itu boleh diperkukuhkan dengan memperluaskan mekanisme pemindahan tunai secara terus kepada kumpulan rentan sebagai ganti kepada subsidi menyeluruh.

"Kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme harga bahan api yang lebih fleksibel, sama ada secara terapung atau separa terapung dengan had tertentu.

"Dalam masa sama, pelaburan dalam pengangkutan awam dan tenaga alternatif perlu terus dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api bersubsidi," katanya.

Mengulas cadangan menambah bantuan tunai, Mohamad Idham berkata langkah itu lebih cekap dan progresif berbanding mengekalkan subsidi secara menyeluruh.

Namun, katanya, pelaksanaan bantuan tunai yang lebih meluas hampir pasti memerlukan pelarasan lanjut terhadap subsidi bahan api, sama ada melalui pengurangan secara berperingkat atau penyasaran yang lebih ketat.

"Pendekatan terbaik ialah mengurangkan subsidi yang tidak bersasar dan menggantikannya dengan bantuan tunai yang lebih tepat kepada golongan memerlukan," katanya.

Sementara itu, penganalisis bebas, Nazri Hamdan, berkata pendekatan memperluaskan subsidi bahan api secara lebih bersasar dilihat menjadi pilihan paling realistik bagi membolehkan kerajaan mengekalkan bantuan kepada rakyat tanpa terus meningkatkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan perbelanjaan subsidi bahan api diunjurkan mencecah sekitar RM40 bilion tahun ini, bersamaan kira-kira RM3.3 bilion sebulan atau hampir RM110 juta sehari.

Beliau berkata, peningkatan kos subsidi amat bergantung kepada pergerakan harga minyak dunia, dengan subsidi RON95 dan diesel melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April lalu susulan konflik Asia Barat, berbanding hanya sekitar RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari.

"Walaupun setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak mentah dianggarkan menambah kira-kira RM300 juta hasil petroleum kepada kerajaan, ia turut meningkatkan kos subsidi. Justeru, kesan bersih bergantung kepada sejauh mana pertambahan hasil itu mampu mengimbangi peningkatan perbelanjaan subsidi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan