BH Online
Ringkasan Berita

Simpanan minyak Singapura susut ke paras terendah enam minggu

SINGAPURA: Stok produk minyak di hab perdagangan utama Asia, Singapura, susut ke paras terendah dalam tempoh enam minggu, dipacu penurunan inventori produk petroleum bersih, menurut data Enterprise Singapore pada Khamis.
Simpanan minyak Singapura susut ke paras terendah enam minggu

Gambar fail. Tangki penyimpanan dan loji penapisan minyak di Pulau Jurong, Singapura. - REUTERS

SINGAPURA: Stok produk minyak di hab perdagangan utama Asia, Singapura, susut ke paras terendah dalam tempoh enam minggu, dipacu penurunan inventori produk petroleum bersih, menurut data Enterprise Singapore pada Khamis.

Jumlah keseluruhan stok produk petroleum di darat berjumlah 39.64 juta tong bagi minggu berakhir 22 Julai, susut 1.5 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, paras inventori itu masih lebih tinggi berbanding purata mingguan bulan lalu sebanyak 37.5 juta tong.

Penurunan berkenaan dipacu terutamanya oleh penyusutan stok bahan api sulingan ringan dan sederhana, walaupun sebahagiannya diimbangi peningkatan inventori produk sulingan berat.

Ketidaktentuan terhadap bekalan minyak global kembali meningkat susulan risiko perkapalan yang semakin ketara di laluan strategik utama dunia dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk serangan ke atas kapal tangki di Laut Merah oleh kumpulan Houthi di Yaman serta serangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Bagi kategori produk petroleum bersih, stok bahan sulingan ringan Singapura yang merangkumi nafta dan petrol turun untuk minggu keempat berturut-turut kepada 11.47 juta tong.

Eksport bersih petrol melebihi import, dengan aliran keluar utama menuju pasaran serantau termasuk Indonesia, Australia dan Malaysia.

Jumlah eksport petrol mencecah kira-kira 361,000 tan metrik, melebihi import sekitar 265,000 tan. Indonesia menjadi destinasi terbesar dengan pembelian hampir 128,000 tan.

Aliran masuk petrol pula diterajui Korea Selatan sebanyak kira-kira 102,000 tan, manakala penghantaran dari Timur Tengah termasuk Arab Saudi berjumlah sekitar 57,000 tan.

Bagi nafta, import menyusut kira-kira 34 peratus kepada 194,000 tan, manakala eksport meningkat sekitar 58 peratus kepada 166,000 tan.

Import nafta utama datang dari Oman sebanyak 43,000 tan, Malaysia (41,000 tan), Kuwait (34,000 tan) dan Rusia (28,000 tan).

Sementara itu, eksport nafta dari Singapura kebanyakannya menuju Thailand sebanyak 68,000 tan dan Malaysia sebanyak 44,000 tan.

Stok bahan sulingan sederhana seperti diesel dan bahan api penerbangan pula turun ke paras terendah tiga minggu iaitu sekitar 8.7 juta tong, apabila penurunan eksport bersih diesel dan gasoil mengimbangi peningkatan eksport bersih bahan api jet.

Eksport bersih diesel dan gasoil merosot hampir 28 peratus, manakala eksport bersih bahan api jet dan kerosin meningkat lebih dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

Import diesel dan gasoil kebanyakannya datang dari Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia, manakala eksport dihantar ke Australia serta Filipina.

Data Kpler menunjukkan lebih banyak diesel dari Korea Selatan dijangka tiba di Singapura dalam tempoh dua minggu akan datang.

Bagi bahan api jet dan kerosin, import direkodkan pada paras minimum, manakala eksport kebanyakannya menuju kepulauan Pasifik. Beberapa penghantaran bahan api jet dari China juga dijangka muncul dalam beberapa minggu akan datang susulan peningkatan jualan pasaran semerta bulan ini.

Sementara itu, stok produk minyak berat meningkat semula apabila inventori minyak bahan api baki (residual fuel oil) melonjak 1.8 peratus kepada paras tertinggi tiga minggu iaitu 19.46 juta tong atau 3.06 juta tan.

Jumlah import minyak bahan api meningkat 65.4 peratus kepada lebih 866,000 tan, dengan Nigeria menjadi pembekal terbesar diikuti Brazil.

Import dari rantau Timur Tengah kekal rendah, walaupun beberapa penghantaran diterima dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu masing-masing sebanyak 37,000 tan dan 49,000 tan.

Dalam masa sama, jumlah eksport minyak bahan api dari tangki simpanan Singapura meningkat 24.5 peratus kepada lebih 352,000 tan, dengan China menjadi destinasi utama.

- Reuters

Video Terkini

Berita Berkaitan