ISTANBUL: Harga minyak melonjak hari ini, dengan minyak mentah Brent menghampiri paras AS$100 setong, susulan serangan baharu ke atas kapal tangki berhampiran Arab Saudi serta ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak, lapor Anadolu Ajansi.
Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent, melonjak lebih 4.9 peratus kepada sekitar AS$98.70 setong setakat jam 9.25 pagi GMT, paras tertinggi sejak penghujung Mei.
Penanda aras AS, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), turut meningkat kepada sekitar AS$90 setong.
Harga minyak terus mencatatkan kenaikan selepas Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal tangki terbakar selepas diserang kira-kira 70 batu nautika di barat daya pelabuhan Al Shuqaiq, Arab Saudi.
Kumpulan Houthi di Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dengan mendakwa mereka menyasarkan dua kapal tangki Arab Saudi menggunakan dron dan peluru berpandu kerana melanggar sekatan maritim yang diisytiharkan kumpulan berkenaan.
Serangan itu meningkatkan kebimbangan bahawa gangguan perkapalan yang menjejaskan Selat Hormuz boleh merebak ke Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab, iaitu laluan penting bagi penghantaran minyak mentah dan bahan api global.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran bahawa Washington akan menyerang jambatan atau loji janakuasa di Iran setiap kali Tehran menyerang kapal di Selat Hormuz.
Amaran itu mencerminkan peningkatan ketegangan susulan kegagalan gencatan senjata antara AS dan Iran.
Iran pula memberi amaran akan bertindak balas dengan menyasarkan infrastruktur serta aset tenaga yang mempunyai kaitan dengan AS di seluruh rantau itu sekiranya Washington melaksanakan ancaman serangan berkenaan.
-BERNAMA-ANADOLU
























