WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi mencapai perjanjian kerjasama tenaga nuklear awam yang membolehkan negara Teluk itu memperkaya uranium serta membina reaktor nuklear menggunakan teknologi AS, tanpa mewajibkan pemeriksaan mengejut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum ini dituntut Washington ke atas Iran.
Perjanjian tenaga nuklear awam dengan Arab Saudi telah dirundingkan sejak beberapa tahun lalu ketika pentadbiran pertama Presiden Donald Trump dan diteruskan di bawah bekas Presiden Joe Biden.
Bagaimanapun, tiada sebarang perjanjian dimeterai sebelum ini, sebahagiannya berikutan amaran daripada kumpulan antipenyebaran senjata nuklear yang berpandangan ia boleh membuka laluan kepada Arab Saudi untuk membangunkan senjata nuklear.
Berbeza dengan cadangan di bawah pentadbiran Biden, perjanjian pentadbiran Trump tidak mensyaratkan Arab Saudi menandatangani Protokol Tambahan yang membolehkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjalankan pemeriksaan mengejut di lokasi yang tidak diisytiharkan.
Lebih setahun lalu, Arab Saudi beralih daripada pengawasan minimum IAEA yang dikhususkan kepada negara dengan aktiviti nuklear yang sangat terhad kepada sistem perlindungan tetap yang merangkumi pemantauan kemudahan nuklear yang diisytiharkan.
Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan program nuklear yang sejak sekian lama dikatakan akan merangkumi aktiviti memperkaya uranium.
Protokol Tambahan diwujudkan bagi menghalang aktiviti nuklear secara rahsia, satu kebimbangan terhadap Arab Saudi selepas Putera Mahkota Mohammed bin Salman berulang kali menyatakan Riyadh akan membangunkan senjata nuklear sekiranya musuh serantaunya, Iran, berbuat demikian.
Iran melaksanakan Protokol Tambahan menerusi perjanjian nuklear bersejarah 2015 dengan kuasa-kuasa besar dunia, namun perjanjian itu terbatal selepas Trump menarik AS keluar daripadanya pada 2018.
Iran kemudian menghentikan pelaksanaan Protokol Tambahan pada 2023.
Perjanjian baharu dengan Washington itu membolehkan Arab Saudi memperkaya uranium dan memproses semula sisa nuklear, yang kedua-duanya berpotensi menjadi laluan kepada pembangunan senjata nuklear.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini bersetuju untuk tidak menjalankan kedua-dua aktiviti itu apabila menandatangani perjanjian seumpamanya dengan AS pada 2009.
Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright dan rakan sejawatannya, Putera Abdulaziz bin Salman, menandatangani perjanjian berkenaan yang dikenali sebagai Perjanjian 123 bersama satu perjanjian perlindungan dua hala, menurut Jabatan Tenaga AS pada Rabu.
Pentadbiran AS berkata, perjanjian itu turut mematuhi syarat antipenyebaran senjata nuklear di bawah Akta Tenaga Atom AS, yang dianggap antara piawaian paling ketat di dunia.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan bahawa jika gagal bekerjasama dengan AS, ia boleh menjalin kerjasama dengan China atau Russia yang mempunyai piawaian antipenyebaran berbeza.Setakat ini, IAEA belum mengulas mengenai pengumuman AS itu.
Jabatan Tenaga AS memaklumkan perjanjian berkenaan kini dikemukakan kepada Kongres.
Sekiranya Kongres tidak membantah dalam tempoh 90 hari persidangan, perjanjian itu akan berkuat kuasa.
Namun, Kongres memerlukan majoriti dua pertiga untuk mengenepikan veto presiden.
Beberapa pakar nuklear menggesa ahli Kongres supaya menolak perjanjian berkenaan.
"Kami menggesa semua ahli Kongres daripada kedua-dua parti agar menyedari risiko yang wujud dan menggunakan kuasa mereka untuk menolak atau meminda cadangan perjanjian nuklear Trump dengan Arab Saudi supaya ia tidak membuka ruang lebih luas kepada penyebaran senjata nuklear di Asia Barat," kata Pengarah Dasar Antipenyebaran Senjata Nuklear di Arms Control Association, Kelsey Davenport.
Perjanjian yang dianggarkan berlangsung selama 30 tahun bagi pembinaan reaktor AP1000 bernilai puluhan bilion dolar AS itu dijangka memberi manfaat kepada Westinghouse yang dimiliki bersama oleh Cameco dari Kanada dan Brookfield Asset Management.
Sumber industri berkata, perjanjian itu mensyaratkan kajian kebolehlaksanaan penggunaan teknologi AS di Arab Saudi.
Kajian tersebut serta tempoh pembinaan loji tenaga nuklear dan kemudahan memperkaya uranium yang mengambil masa panjang bermakna infrastruktur itu mungkin hanya dapat dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beberapa ahli Kongres daripada Parti Demokrat memberi amaran bahawa perjanjian itu boleh mencetuskan perlumbaan senjata di Asia Barat ketika konflik AS-Israel dengan Iran masih berterusan.
"Mereka membenarkan Arab Saudi, sebuah negara yang agresif dan autoritarian, membangunkan teknologi senjata nuklear sambil melancarkan perang terhadap Iran atas alasan menghalang Tehran memiliki bom nuklear," kata Senator Demokrat, Edward Markey.
"Perjanjian ini akan menjadikan kita semua kurang selamat."
Sementara itu, Senator Republikan, Jim Risch, berkata beliau bersetuju dengan pandangan Putera Mahkota Arab Saudi bahawa perjanjian tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
-Reuters
























