SHAH ALAM: Yayasan Peneraju (YP) menyasarkan pembangunan 100,000 bakat Bumiputera berkelayakan menjelang tahun 2030 menerusi inisiatif Talent Bank bagi menyokong penciptaan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Daripada jumlah sasaran berkenaan, platform pembangunan bakat pertama Malaysia itu berhasrat melahirkan 10,000 individu sebagai 'pencipta nilai' yang bakal menerajui pelbagai bidang profesional, perniagaan, dan kemasyarakatan.
Menurut kenyataan media YP, Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, RMK13 menyasarkan 1.2 juta pekerjaan baharu yang merangkumi 700,000 dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital.
"Peluang sebesar ini mesti disokong oleh bakat yang bukan sahaja mempunyai kelayakan, tetapi berintegriti, cekap membuat pertimbangan dan berani memimpin," jelas beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penerima faedah YP pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi di sini.
Beliau menambah, perubahan teknologi, pendigitalan operasi perniagaan serta perkembangan ekonomi bernilai tinggi kini menuntut profesional perakaunan dan kewangan untuk bukan sekadar mempunyai kemahiran teknikal.
Sebaliknya, industri masa kini amat memerlukan bakat yang mampu menguasai teknologi dan data, di samping berupaya memberikan pandangan strategik kepada sesebuah organisasi.
Sejajar dengan landskap ekonomi yang sentiasa berubah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YP, Puan Nor Azmah Zahrullail, menegaskan bahawa agensi di bawah Kementerian Ekonomi itu kini telah beralih arah strategik.
"YP telah beralih daripada agenda penciptaan kekayaan kepada memperkasa bakat sebagai pencipta nilai. Usaha ini selaras dengan aspirasi RMK-13 dan PuTERA35 dalam memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi bernilai tinggi dan berkemahiran tinggi," katanya.
Menerusi penyepaduan dengan keperluan sebenar industri, YP telah berjaya memberi faedah kepada seramai 13,775 bakat Bumiputera melalui program pensijilan profesional sejak tahun 2012.
Sehingga kini, seramai 3,614 peserta telah berjaya menamatkan program dan memperoleh kelayakan profesional antarabangsa seperti ACCA dan ICAEW, manakala 5,482 peserta lagi sedang mengikuti pelbagai laluan pensijilan berkenaan.
Pada majlis berkenaan, kecemerlangan bakat muda turut diraikan apabila Menteri Ekonomi menyampaikan sijil penghargaan kepada 66 bakat YP yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam laluan kelayakan profesional ACCA dan ICAEW.
Bagi memperluas ruang dan peluang kepada lebih ramai bakat Bumiputera pada masa hadapan, beliau turut menggalakkan penerima faedah, alumni, barisan profesional, serta rakan industri untuk menyokong dan menyumbang kepada Dana YP.
























