BH Online
Ringkasan Berita

ACCCIM gesa jurang peraturan buruh paksa segera ditutup, elak eksport Malaysia ke AS terjejas

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan mempercepat usaha menutup jurang peraturan berkaitan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa bagi memastikan daya saing eksport negara ke Amerika Syarikat (AS) terus terpelihara.
ACCCIM gesa jurang peraturan buruh paksa segera ditutup, elak eksport Malaysia ke AS terjejas

Yih Pyng bercakap pada sidang media ACCCIM di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/FATHIL ASRI

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan mempercepat usaha menutup jurang peraturan berkaitan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa bagi memastikan daya saing eksport negara ke Amerika Syarikat (AS) terus terpelihara.

Gesaan itu dibuat susulan laporan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 yang mendapati Malaysia gagal mengenakan dan menguatkuasakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa sehingga disifatkan membebankan perdagangan AS.

Berdasarkan laporan itu, USTR mencadangkan tarif tambahan antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas import daripada 60 ekonomi yang disiasat, dengan Malaysia diletakkan dalam kumpulan tarif 10 peratus bersama Indonesia dan Kemboja kerana mempunyai komitmen sedia ada berkaitan larangan import buruh paksa menerusi perjanjian perdagangan masing-masing.

Sebaliknya, Vietnam, Thailand, Singapura dan Filipina dicadangkan dikenakan tarif lebih tinggi iaitu 12.5 peratus, manakala keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses rundingan awam dan pendengaran Jawatankuasa Seksyen 301.

Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng, berkata pihaknya mengalu-alukan langkah proaktif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang sedang menangani jurang peraturan dibangkitkan USTR berhubung larangan import barangan berkaitan buruh paksa.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang domestik yang komprehensif bagi menangani buruh paksa dan isu dibangkitkan USTR lebih menjurus kepada ketiadaan peruntukan khusus bagi melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

"Kami mengalu-alukan maklum balas proaktif MITI yang sedang giat menangani jurang peraturan dibangkitkan USTR, di samping mengekalkan pendirian bahawa Malaysia mempunyai undang-undang domestik yang komprehensif bagi membanteras buruh paksa.

"Kami percaya kerajaan dan majikan memandang serius dapatan USTR bagi melindungi rantaian bekalan industri domestik daripada sumber input import yang dikaitkan dengan buruh paksa di negara ketiga, di samping mengelakkan kemerosotan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Laporan ACCCIM menunjukkan AS kekal sebagai destinasi eksport kedua terbesar Malaysia pada 2025 dengan nilai eksport mencecah RM233.1 bilion atau 14.5 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Walaupun tarif tambahan 10 peratus dijangka memberi tekanan kepada daya saing eksport negara, ACCCIM berpandangan kesannya lebih terkawal kerana kadar itu lebih rendah berbanding tarif 12.5 peratus yang dicadangkan ke atas beberapa negara ASEAN lain.

Pada masa sama, pengeluar dan pengeksport Malaysia dijangka berdepan penelitian lebih ketat terhadap sumber bahan mentah dan input pengeluaran apabila pembeli dari AS menuntut ketelusan, kebolehkesanan serta pematuhan lebih tinggi dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu, ACCCIM berpandangan kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama mewujudkan mekanisme pengesahan serta kebolehkesanan bagi memastikan bahan mentah dan barangan import tidak mempunyai kaitan dengan amalan buruh paksa.

Selain itu, syarikat digesa memperkukuh audit rantaian bekalan, memanfaatkan teknologi kebolehkesanan digital serta memastikan pematuhan ketat terhadap amalan pengambilan pekerja bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dan sekatan perdagangan.

MITI sebelum ini memaklumkan kerajaan akan menangani jurang perundangan yang dikenal pasti USTR, sambil menegaskan Malaysia mempunyai undang-undang domestik yang melarang buruh paksa dan dapatan itu tidak bermaksud negara mengamalkan buruh paksa atau mencerminkan keadaan sebenar pasaran buruh tempatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan