KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit kepada RM4.0905 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 20 Julai lalu mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, disokong prestasi eksport berdaya tahan serta lebihan imbangan perdagangan yang berterusan.
Kementerian Ekonomi berkata, pengukuhan nilai mata wang tempatan itu turut dipacu permintaan luar yang kekal tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia.
"Nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 9.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.4785 pada 2 Januari 2025 kepada RM4.0905 pada 20 Julai lalu.
"Ringgit juga mencatat prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang negara ASEAN seperti rupiah Indonesia, baht Thailand, peso Filipina dan dolar Singapura," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap eksport dan imbangan dagangan negara.
Menurutnya, walaupun kadar pertukaran ringgit mengalami turun naik, daya saing eksport negara tidak terjejas dengan ketara.
Kementerian Ekonomi berkata, perdagangan Malaysia kekal stabil berdasarkan kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran (CAB) yang terus mencatat lebihan sejak 1998, disokong terutamanya oleh lebihan perdagangan barangan.
"Sebagai contoh, ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras lebih baik iaitu RM3.3333 pada 2008 berbanding RM4.2844 pada 2025, namun prestasi CAB pada 2008 sebanyak RM131.4 bilion merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah," katanya.
Menurut kementerian itu, momentum positif dalam perdagangan negara terus berlanjutan sehingga kini.
"Jumlah eksport meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 berbanding RM761.8 bilion pada tahun sebelumnya.
"Secara keseluruhan, imbangan perdagangan meningkat sebanyak 159.8 peratus kepada RM147.1 bilion bagi tempoh sama, menunjukkan kedudukan perdagangan negara yang kekal kukuh," katanya.
Kementerian Ekonomi berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kerencaman ekonomi, mempergiat penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa, memperluas jaringan perdagangan global serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan dagang sedia ada dan ekonomi serantau.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan prestasi eksport dan lebihan perdagangan negara dapat dikekalkan secara mampan.
"Kesimpulannya, pengukuhan ringgit tidak memberi kesan secara langsung kepada prestasi eksport dan imbangan perdagangan negara walaupun secara teori pengukuhan ringgit akan menyebabkan harga eksport meningkat dan harga import menjadi lebih murah.
"Pelaksanaan semua inisiatif dan langkah strategik berkenaan dijangka menyokong usaha mengekalkan lebihan dagangan dan seterusnya mencapai sasaran pertumbuhan eksport sebanyak 5.8 peratus setahun dalam tempoh RMK13," katanya.
– BERNAMA
























