BH Online
Ringkasan Berita

Singapura pacu lonjakan pelaburan Thailand ke paras rekod

KUALA LUMPUR: Permohonan pelaburan Thailand mencatatkan lonjakan ketara pada separuh pertama 2026, didorong kemasukan modal besar dari Singapura untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Singapura pacu lonjakan pelaburan Thailand ke paras rekod

Narit Therdsteerasukdi, Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand (BOI).

KUALA LUMPUR: Permohonan pelaburan Thailand mencatatkan lonjakan ketara pada separuh pertama 2026, didorong kemasukan modal besar dari Singapura untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

Berdasarkan kenyataan Lembaga Pelaburan Thailand (BOI), negara itu menerima permohonan pelaburan berjumlah AS$43.6 bilion (RM178.13 bilion) merangkumi 1,299 projek, meningkat 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor digital muncul penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan AS$33 bilion (RM134.82 bilion), didorong pelaburan dalam pusat data, pengehosan data serta perkhidmatan pengkomputeran awan.

Singapura tampil sebagai pelabur langsung asing (FDI) terbesar dengan pelaburan berjumlah AS$33.2 bilion (RM135.64 bilion) menerusi 158 projek, sekali gus menyumbang sebahagian besar pelaburan dalam sektor digital Thailand.

Prestasi itu mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai destinasi pilihan dalam rantaian bekalan global apabila permohonan FDI meningkat 80 peratus kepada AS$40.5 bilion (RM165.46 bilion) meskipun dunia masih berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan harga tenaga.

Dari segi strategi pelaburan, Singapura memberi tumpuan kepada projek bernilai tinggi, manakala China merekodkan jumlah projek paling banyak dengan 321 permohonan, walaupun nilai pelaburannya lebih rendah iaitu AS$1.35 bilion (RM5.52 bilion).

Pelaburan baharu yang diluluskan BOI dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negara dengan mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk tenaga kerja tempatan.

Selain itu, projek berkenaan dijangka menggunakan bahan mentah domestik bernilai kira-kira AS$11.4 bilion (RM46.57 bilion) setahun, bersamaan 42 peratus daripada jumlah penggunaan bahan mentah keseluruhan projek, di samping meningkatkan kapasiti eksport negara melebihi AS$36.8 bilion (RM150.35 bilion) setahun.

"Nilai pelaburan bukanlah satu-satunya matlamat. Kejayaan sebenar bermakna pekerjaan berkualiti, kemahiran yang lebih tinggi, dan pendapatan yang lebih baik untuk pekerja Thai. Ia bermakna peluang sebenar untuk perniagaan Thai di dalam rantaian bekalan," kata Setiausaha Agung BOI, Narit Therdsteerasukdi dalam satu kenyataan.

Bagi memenuhi keperluan tenaga pusat data generasi baharu, Thailand turut merekodkan peningkatan pelaburan dalam sektor utiliti dengan 221 projek bernilai AS$1.17 bilion (RM4.78 bilion), yang sebahagian besarnya melibatkan pembangunan tenaga bersih seperti solar, angin dan biogas.

Dalam masa sama, sektor pembuatan negara itu terus diperkasakan menerusi inisiatif Industri Pintar dan Mampan seliaan BOI apabila permohonan pelaburan bernilai AS$507.6 juta (RM2.07 bilion) diterima bagi mengintegrasikan teknologi robotik dan automasi ke dalam proses pengeluaran.

Keseluruhan usaha itu turut disokong oleh mekanisme pemudah cara pelaburan pantas, Thailand FastPass, yang diwujudkan bagi mempercepatkan pelaburan strategik dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara seiring peralihan global ke arah industri masa depan.

Video Terkini

Berita Berkaitan