KUALA LUMPUR: Krisis berterusan di Asia Barat dijangka terus membayangi prospek perniagaan Malaysia pada separuh kedua 2026 apabila komuniti perniagaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati susulan tekanan kos yang semakin meningkat, sekali gus menjejaskan jualan, pengeluaran serta keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Lee Heng Guie, berkata hasil Tinjauan Persekitaran Perniagaan dan Ekonomi ACCCIM (M-BECS) menunjukkan sentimen perniagaan terus lemah dengan jangkaan yang lebih berhati-hati bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.
Beliau berkata, tinjauan yang dijalankan antara 4 hingga 30 Jun lalu turut mengambil kira impak konflik Asia Barat yang masih berlarutan ketika tempoh kajian dijalankan, selain menilai prestasi perniagaan bagi separuh pertama 2026 dan jangkaan untuk separuh kedua tahun ini.
"Indeks Persekitaran Perniagaan (BCI) yang mengukur persekitaran operasi semasa terus menurun, manakala Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) yang menggambarkan jangkaan bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang turut mencatat trend yang sama.
"Secara keseluruhannya, sentimen perniagaan semakin lemah di tengah-tengah jangkaan yang lebih berhati-hati, walaupun penilaian keseluruhan terhadap keadaan ekonomi dan perniagaan ketika ini masih berada pada tahap neutral," katanya pada sidang media laporan hasil M-BECS di sini, hari ini.
M-BECS membabitkan 791 syarikat daripada pelbagai sektor ekonomi, dengan sektor perkhidmatan mencatat penyertaan tertinggi diikuti pembuatan dan pembinaan, manakala 91.4 peratus daripada keseluruhan responden terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Heng Guie berkata, tekanan kos kekal menjadi cabaran utama kepada dunia perniagaan dan bukan hanya berlaku tahun ini, malah berlarutan sejak dua tahun lalu berikutan pelbagai perubahan dasar, peraturan serta pembaharuan yang meningkatkan kos operasi syarikat.
Katanya, kenaikan harga bahan mentah, peningkatan kos operasi serta perubahan corak perbelanjaan pengguna akibat kos sara hidup yang lebih tinggi muncul sebagai tiga faktor terbesar yang menjejaskan prestasi perniagaan sepanjang separuh pertama tahun ini dan dijangka terus memberi kesan pada separuh kedua.
"Pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka membuat perbandingan harga, hanya membeli barangan keperluan, memilih produk yang ditawarkan pada harga promosi serta semakin beralih kepada pembelian secara digital," katanya.
Keadaan itu menyebabkan 50.9 peratus syarikat melaporkan jualan domestik merosot sepanjang separuh pertama 2026, manakala 40.6 peratus lagi menjangkakan kelemahan itu akan berterusan sehingga hujung tahun.
Pada masa sama, sebanyak 42.5 peratus responden memaklumkan tahap pengeluaran turut menurun, manakala kos input sama ada diperoleh dari dalam negara atau diimport dijangka terus meningkat pada separuh kedua tahun ini.
Selain prospek perniagaan, ACCCIM memberi tumpuan kepada isu pembiayaan apabila maklum balas diterima menunjukkan akses kepada pembiayaan yang mampu milik masih menjadi cabaran besar khususnya kepada perusahaan mikro dan PKS.
Heng Guie berkata, walaupun kemudahan pinjaman masih tersedia, cabaran utama ialah mendapatkan pembiayaan dengan kos yang lebih rendah, mesra aliran tunai serta proses kelulusan yang lebih cepat dan mudah.
Beliau berkata, 52.9 peratus responden bergantung kepada bank konvensional sebagai sumber pembiayaan utama, manakala 24 peratus tidak menggunakan sebarang kemudahan pembiayaan.
Pada masa sama, lebih separuh responden berpandangan akses kepada pembiayaan kini lebih ketat berbanding dua tahun lalu.
























