BH Online
Ringkasan Berita

Asia Barat semakin bergolak, harga minyak terus melonjak

SINGAPURA: Harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus dalam dagangan Asia hari ini, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu susulan serangan kumpulan Houthi dari Yaman terhadap kapal tangki minyak di Laut Merah serta pusingan baharu serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Asia Barat semakin bergolak, harga minyak terus melonjak

Tentera AS melengkapkan malam ke-12 berturut-turut serangan ke atas Iran - Foto Reuters

SINGAPURA: Harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus dalam dagangan Asia hari ini, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu susulan serangan kumpulan Houthi dari Yaman terhadap kapal tangki minyak di Laut Merah serta pusingan baharu serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$2.20 atau 2.3 peratus kepada AS$96.27 setong pada jam 3.27 pagi GMT, paras tertinggi sejak 8 Jun, selepas ditutup meningkat lebih AS$3 kepada AS$94.07 pada sesi sebelumnya, hampir menyamai paras tertinggi enam minggu.

Minyak mentah penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), pula naik AS$1.65 atau 1.9 peratus kepada AS$88.48 setong, selepas melonjak tiga peratus semalam.

Pengawal Revolusi Iran memaklumkan sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas berlaku letupan ketika cuba melalui laluan yang didakwa dipasang periuk api di selatan Selat Hormuz, manakala dua lagi kapal tangki berpatah balik.

Dalam satu kenyataan, Pengawal Revolusi berkata Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan mereka dan 'ditutup sepenuhnya' selagi tindakan ketenteraan AS di rantau itu diteruskan, sambil memberi amaran bahawa tiada kapal tangki akan dibenarkan masuk atau keluar tanpa penyelarasan dengan Iran.

Selain konflik baharu membabitkan kawalan laluan perairan strategik itu, kumpulan Houthi yang disokong Iran turut membuka satu lagi medan tekanan dengan mengancam untuk menyasarkan kapal yang membawa minyak Arab Saudi di Selat Bab el-Mandeb serta mengumumkan sekatan laut terhadap Arab Saudi.

Penganalisis Pasaran Kanan Phillip Nova, Priyanka Sachdeva, berkata harga minyak kini berdepan risiko luar biasa akibat gangguan serentak di Selat Bab el-Mandeb dan Selat Hormuz.

"Premium risiko geopolitik kembali meningkat, namun kenaikan harga yang berterusan memerlukan bukti gangguan perkapalan yang berpanjangan atau gangguan bekalan yang ketara," katanya.

Houthi mendakwa mereka melancarkan operasi ketenteraan yang menyasarkan dua kapal tangki minyak Arab Saudi, manakala laporan keselamatan maritim menyatakan salah sebuah kapal yang dinamakan kumpulan itu, kapal tangki dengan bendera Arab Saudi Encelia, telah diserang di Laut Merah.

Houthi turut mendakwa mereka memaksa kira-kira 10 kapal berpatah balik selepas memberi amaran supaya kapal tidak belayar ke pelabuhan Arab Saudi.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.Sekatan laut Houthi terhadap Arab Saudi di Laut Merah dilihat berpotensi mengganggu bekalan tenaga global di luar rantau Teluk, manakala jurucakap Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran kepada syarikat perkapalan bahawa laluan selatan Selat Hormuz telah dipasang periuk api menerusi hantaran di platform X.

Ketua Penyelidikan Tenaga MST Marquee, Saul Kavonic, berkata ancaman baharu terhadap laluan Laut Merah itu boleh mengganggu sehingga lima juta tong bekalan minyak sehari, selain menjejaskan laluan utama eksport minyak Teluk yang digunakan sebagai alternatif kepada Selat Hormuz.

Tentera AS memaklumkan bahawa mereka telah melengkapkan malam ke-12 berturut-turut serangan ke atas Iran, beberapa jam selepas Presiden Donald Trump berikrar akan memusnahkan sebuah jambatan atau loji janakuasa di Iran setiap kali negara itu melepaskan tembakan ke arah kapal di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan perang dengan Iran.

-Reuters

Video Terkini

Berita Berkaitan