LONDON: Minyak mentah Brent hari ini meningkat melepasi paras AS$95 setong buat kali pertama dalam tempoh hampir enam minggu, susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat yang mencetuskan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada bekalan minyak global, lapor Xinhua.
Penanda aras minyak antarabangsa itu seketika melepasi paras AS$95 sepanjang dagangan sebelum susut sedikit, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) turut mencatat kenaikan.
Harga minyak disokong oleh peningkatan risiko geopolitik berikutan pertukaran serangan ketenteraan yang kembali tercetus antara AS dan Iran, selain ancaman yang semakin meningkat terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb, yang menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.
Peserta pasaran turut menyatakan bekalan minyak mentah bagi penghantaran segera yang semakin ketat serta permintaan jangka pendek yang lebih kukuh sebagai faktor menyokong kenaikan harga.
Kenaikan itu meneruskan pemulihan ketara harga minyak mentah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Penganalisis berkata sebarang peningkatan ketegangan lanjut di rantau berkenaan berpotensi mengekalkan premium risiko geopolitik pada paras tinggi, sekali gus memberi tekanan kenaikan kepada pasaran tenaga global.
-BERNAMA-XINHUA
























