KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai satu lagi pencapaian penting apabila kerja pembinaan Seksyen D dimulakan secara rasmi.
Ia sekali gus melengkapkan sambungan rangkaian rel sejauh 25 kilometer dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Northport dan Westports.
Permulaan kerja itu menyusuli kelulusan kerajaan terhadap skop projek yang disemak semula pada tahun 2025 serta pemeteraian Perjanjian Tambahan Ketujuh (SA7) bagi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ECRL.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) iaitu kontraktor EPCC projek berkenaan, berkata Seksyen D akan memainkan peranan penting dalam melengkapkan jambatan darat ECRL yang menghubungkan pelabuhan di Pantai Timur dan Pantai Barat.
"Jajaran itu akan menggunakan konfigurasi landasan berkembar yang menggabungkan landasan tolok standard baharu bersama landasan tolok meter sedia ada milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekali gus membolehkan pengoptimuman perkhidmatan kargo rel merentasi kedua-dua rangkaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Deng Bo, berkata dengan jajaran utama ECRL kini menghampiri fasa akhir ujian dan pentauliahan, pelaksanaan Seksyen D membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan rel negara.
"Berbekalkan rekod prestasi yang terbukti dalam pelaksanaan projek, CCC-ECRL kekal komited menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia melalui penyampaian infrastruktur rel bertaraf dunia," katanya.
Menurut syarikat itu, apabila siap kelak, Seksyen D akan menyediakan sambungan rel yang lancar antara depoh kereta api di Kuantan Port, Northport dan Westports bagi meningkatkan kecekapan pergerakan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
Selain meningkatkan kapasiti pengangkutan barangan dan kecekapan operasi logistik, pemindahan sebahagian kargo daripada jalan raya kepada rel dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, kebergantungan terhadap kenderaan berat serta menyokong operasi logistik yang lebih mampan.
Secara keseluruhan, jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan Kota Bharu dengan Pelabuhan Klang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Jajaran Kota Bharu-Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 sebelum memulakan operasi komersial pada Januari 2027, manakala jajaran Gombak-Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dengan operasi penuh bermula Januari 2028.
























