BH Online
Ringkasan Berita

Industri perlombongan Malaysia catat pemulihan luar biasa

KUALA LUMPUR: Permintaan tenaga serantau yang kukuh dan kekurangan bahan api global susulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran memberi kelebihan kepada sektor perlombongan Malaysia mencatatkan pemulihan luar biasa baru-baru ini.
Industri perlombongan Malaysia catat pemulihan luar biasa

Perang antara AS dan Iran memberi kelebihan kepada sektor perlombongan Malaysia - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan tenaga serantau yang kukuh dan kekurangan bahan api global susulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran memberi kelebihan kepada sektor perlombongan Malaysia mencatatkan pemulihan luar biasa baru-baru ini.

Eksport hasil galian negara melonjak 97.5 peratus kepada RM11.04 bilion pada Jun 2026, disumbangkan oleh peningkatan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.

BIMB Securities Research berkata, eksport perlombongan Malaysia bangkit, dengan prestasi paling menonjol dicatatkan eksport LNG yang meningkat 83.3 peratus secara tahunan dan dan 24.5 peratus dari bulan ke bulan, menandakan pemulihan berterusan dalam penghantaran berkaitan gas.

Ia berkata, lebih ketara lagi, eksport petroleum mentah pulih mendadak sebanyak 112.4 peratus dari tahun ke tahun dan 278 peratus dari bulan ke bulan, menterbalikkan kelemahan yang dilihat pada bulan-bulan sebelumnya.

Menurutnya, eksport timah pula berkembang dengan pesat sebanyak 55.5 peratus dari tahun ke tahun.

"Peningkatan menyeluruh ini menunjukkan bahawa pemulihan sektor perlombongan bukan lagi semata-mata didorong oleh LNG, memberikan sumbangan yang semakin bermakna kepada pertumbuhan eksport keseluruhan di tengah-tengah permintaan tenaga serantau yang kukuh dan memenuhi kekurangan bahan api global berikutan perang AS-Iran," katanya dalam satu nota penyelidikan.

BIMB Securities Research berkata, barangan Malaysia juga mendapat permintaan tinggi dengan pasaran AS terus menjadi destinasi eksport paling menonjol bagi Malaysia apabila mencatatkan lonjakan luar biasa sehingga 108.6 peratus pada Jun 2026 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, keadaan itu mencerminkan aktiviti pemuatan hadapan yang berterusan dan kepelbagaian rantaian bekalan yang berterusan.

Dalam kalangan ekonomi maju, Jepun terus mengukuh (meningkat 45.9 peratus dari tahun ke tahun), manakala eksport ke Kesatuan Eropah (EU) kekal kukuh (meningkat 29.7 peratus dari tahun ke tahun) berikutan kenaikan kukuh pada bulan-bulan sebelumnya.

"Di Asia, momentum eksport kekal kukuh diterajui oleh Indonesia (53.4 peratus), Singapura (47.6 peratus), Vietnam (43.9 peratus), China (36.1 peratus) dan India (20.5 peratus), dengan kebanyakan pasaran mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun," katanya.

Mengenai jangkaan prestasi perdagangan Malaysia bagi keseluruhan 2026, BIMB Securities Research mengunjurkan eksport barangan Malaysia meningkat 15.8 peratus pada 2026 berbanding 6.4 peratus pada 2025.

Ia berkata, eksport Malaysia yang berkembang 27.5 peratus pada separuh pertama 2026, didorong oleh eksport domestik yang kukuh dan eksport semula, mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab perdagangan dan rantaian bekalan serantau yang utama.

Menurutnya, walaupun sedikit penyederhanaan masih berkemungkinan pada separuh kedua 2026 apabila kesan muatan hadapan secara beransur-ansur berkurangan, prospek eksport kekal disokong dengan baik oleh permintaan berterusan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk semikonduktor.

Ia turut didorong pengecualian tarif AS ke atas semikonduktor dan eksport tenaga yang lebih kukuh, terutamanya LNG dan petroleum mentah, di tengah-tengah usaha untuk mengisi semula kekurangan bahan api dan menambah inventori di seluruh dunia.

"Oleh itu, risiko peningkatan terhadap unjuran bagi tahun penuh kami sebanyak 15.8 peratus untuk eksport dan 10.9 peratus untuk import kekal kukuh," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan