KUALA LUMPUR: Program bantuan tunai kerajaan dijangka kekal sebagai pemacu penting perbelanjaan domestik, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin, berkata kerajaan memperuntukkan jumlah terbesar RM15 bilion kepada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026, yang memanfaatkan kira-kira sembilan juta penerima di seluruh negara.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif SARA Untuk Semua memperluaskan bantuan secara sekali saja melalui MyKad kepada kira-kira 22 juta rakyat Malaysia.
Malah, katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk meningkatkan bantuan tunai SARA, tertakluk kepada kedudukan fiskal negara.
Menurut Perdana Menteri, sebarang peruntukan tambahan dijangka dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
"Kami berpandangan bahawa perkembangan ini mengukuhkan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat serta menyokong perbelanjaan bagi barangan keperluan harian," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Lik Hsin berkata, pihaknya juga menjangkakan sokongan berterusan kerajaan itu akan terus memberi impak positif kepada syarikat pengguna yang mempunyai pendedahan ketara kepada jualan barangan keperluan harian.
Menurutnya, syarikat di bawah liputan CIMB Securities yang berpotensi mendapat manfaat daripada dasar itu termasuk 99 Speedmart, MR.DIY, Nestlé, QL Resources dan MyNews.
Walau bagaimanapun, pihaknya menjangkakan peningkatan pendapatan tambahan hasil daripada sebarang kenaikan bantuan tunai SARA pada masa hadapan adalah lebih sederhana berbanding fasa sebelumnya.
Menurutnya, ia berikutan asas program yang kini jauh lebih besar, rangkaian peniaga yang mengambil bahagian semakin meluas, serta senarai produk yang layak dibeli turut ditambah, menyebabkan perbelanjaan diagihkan kepada ekosistem peruncit lebih luas.
Di samping itu, Lik Hsin berkata, cadangan untuk memperluaskan kategori barangan yang layak kepada produk segar berpotensi mengalihkan sebahagian besar perbelanjaan daripada peruncit yang lebih tertumpu kepada barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
"Sebagai contoh, memandangkan 99 Speedmart mempunyai pendedahan yang agak terhad kepada jualan produk segar (dianggarkan sekitar lima peratus daripada jumlah jualan), kami percaya sebarang peningkatan jualan yang dipacu oleh program SARA pada masa hadapan berkemungkinan lebih sederhana berbanding tahun kewangan 2025," jelasnya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk STR dan SARA jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibuat bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
"Kalau keadaan ekonomi mengizinkan, dalam Belanjawan (2027) nanti saya fikir bagaimana nak tambah peruntukan untuk bantu rakyat," kata Anwar ketika berucap dalam Program MADANI Kita di Ipoh, baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu juga, kerajaan akan memperluaskan lagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah bagi memastikan rakyat terus menikmati barangan keperluan pada harga lebih rendah.
























