BH Online
Ringkasan Berita

Peningkatan daya saing Malaysia bukti keberkesanan Ekonomi MADANI

KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyifatkan peningkatan ketara kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD adalah bukti awal bahawa kerangka Ekonomi MADANI berada dalam landasan yang tepat.
Peningkatan daya saing Malaysia bukti keberkesanan Ekonomi MADANI

Malaysia menunjukkan ketahanan, kelincahan, dan keupayaan yang amat baik dalam menyesuaikan diri dengan perubahan rantai bekalan global - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyifatkan peningkatan ketara kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD adalah bukti awal bahawa kerangka Ekonomi MADANI berada dalam landasan yang tepat.

Presidennya, Datuk William Ng, berkata peningkatan lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara adalah pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih sedekad.

Beliau berkata, ia membuktikan potensi sebenar Malaysia apabila pihak kerajaan bekerjasama rapat dengan warga industri, mengurangkan birokrasi, dan memberi ruang kepada sektor swasta untuk memacu momentum ekonomi.

"Tatkala sebahagian besar dunia berdepan cabaran tenaga dan ketidaktentuan geoekonomi, Malaysia menunjukkan ketahanan, kelincahan, dan keupayaan yang amat baik dalam menyesuaikan diri dengan perubahan rantai bekalan global.

"Daya tahan yang membanggakan ini adalah hasil usaha bersama yang erat antara sektor swasta dan pihak kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ng berkata, penambahbaikan proses pentadbiran di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) serta penggubalan Akta Iltizam membuahkan hasil yang amat positif, menyaksikan peningkatan ketara dalam kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia dan kecekapan perniagaan naik 16 anak tangga ke kedudukan ke-16 dunia.

Selain itu, beliau berkata, petunjuk bagi tempoh memulakan perniagaan melonjak 38 anak tangga ke kedudukan ke-15 dunia, manakala perundangan perniagaan meningkat 29 anak tangga ke kedudukan keenam dunia ekoran pematuhan kawal selia yang semakin jelas dan teratur.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan bahawa apabila kerajaan sentiasa mendampingi warga perniagaan dan memudah cara urusan, seluruh ekonomi negara dapat melangkah maju bersama.

"Bagi mengekalkan momentum positif ini serta memastikan manfaat daripada peningkatan kedudukan ini dapat dirasai secara langsung oleh warga perusahaan kecil sederhana (PKS), SAMENTA mencadangkan agar fokus pengurangan birokrasi seterusnya ditumpukan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

"Menerusi tinjauan SAMENTA, PKS konsisten menyatakan bahawa tempoh pemprosesan lesen, permit, dan pembaharuan yang sukar dijangka, di samping aspek penguatkuasaan yang tidak menentu, kekal menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos operasi serta ketidakpastian perniagaan," katanya.

Ng berkata, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor berteknologi tinggi menawarkan peluang yang sangat luas buat industri tempatan.

Beliau berkata, bagi memaksimumkan potensi itu, kerajaan dan industri wajar berganding bahu untuk memperkasakan pembabitan pembekal tempatan.

Justeru, katanya, SAMENTA mencadangkan penanda aras sasar sekurang-kurangnya 40 peratus penglibatan rantaian bekalan tempatan bagi projek utama, demi memastikan pelaburan syarikat pelbagai nasional dapat menyokong pembangunan keupayaan PKS tempatan secara berterusan.

Menurutnya, sebahagian besar kemajuan dalam indeks daya saing ini juga adalah hasil usaha gigih Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Nexus Produktiviti, yang berfungsi sebagai jambatan penting yang menghubungkan dasar kerajaan dengan warga industri.

Justeru, katanya, SAMENTA mencadangkan agar fungsi Nexus Produktiviti diperkasa menjadi unit pelaksanaan yang menterjemahkan dasar kepada tindakan, menerusi kerjasama antara agensi kerajaan dan persatuan perniagaan untuk menyediakan program digitalisasi dan peningkatan produktiviti khusus bagi perniagaan mikro dan kecil.

"Kejayaan ini adalah satu kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, usaha kita tidak berhenti di sini.

"Menerusi pembabitan awam-swasta yang lebih mendalam di peringkat tempatan, sokongan terhadap integrasi rantaian bekalan domestik, serta penambahbaikan infrastruktur yang seiring dengan pertumbuhan, kita mampu membina sebuah ekonomi di mana setiap perniagaan mempunyai ruang dan sokongan yang secukupnya untuk bersaing di pentas dunia," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan