KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia secara beransur-ansur dan menerusi pendekatan perundingan dijangka mengurangkan ketidaktentuan dasar serta memberi masa yang mencukupi kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans dan pihak pengawal selia untuk menyesuaikan model operasi masing-masing.
Pelaksanaan berperingkat sistem pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG), pengenalan pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful, MediAsas serta pelaksanaan berterusan inisiatif RESET menunjukkan pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia dilaksanakan secara beransur-ansur dan bukannya menerusi pendekatan satu peraturan untuk semua.
Penganalisis CIMB Securities, Chun Sung Oong, berkata perkembangan dasar terkini juga menunjukkan kerajaan memberi keutamaan kepada pembaharuan struktur yang dapat meningkatkan ketelusan kos dan kecekapan pembiayaan sektor kesihatan.
Menurutnya, bagi pengendali hospital swasta, pembaharuan itu dijangka akan menyederhanakan pertumbuhan kadar caj sekiranya hospital swasta memilih untuk menyertai pelan MediAsas.
Namun, katanya, kesannya terhadap pertumbuhan pendapatan dijangka minimum memandangkan penyertaan dalam pelan itu adalah secara sukarela.
"Dalam jangka panjang, inisiatif yang bertujuan meningkatkan kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan serta memperluaskan penembusan insurans seperti MediAsas dijangka dapat memperluaskan pangkalan pesakit dan menyokong pertumbuhan jumlah pesakit yang lebih mampan," katanya dalam nota penyelidikannya.
Bagi pengendali takaful dan insurans (ITO), Sung Oong berkata, walaupun ketelusan harga yang lebih tinggi serta rangka kerja pembayaran balik yang lebih standard mungkin memberi tekanan kepada marjin taja jamin dalam jangka pendek, mereka perlu memantapkan jangkaan tuntutan, menjadikan produk insurans lebih mampu milik dan seterusnya menyokong peningkatan kadar penembusan insurans perubatan dalam tempoh jangka panjang.
Beliau berkata, inflasi perubatan di Malaysia didorong oleh gabungan faktor struktur, demografi dan faktor berkaitan pasaran.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen hujung bulan lalu, peningkatan premium insurans kesihatan bukan berpunca daripada yuran profesional doktor, sebaliknya akibat lonjakan caj komponen bukan profesional hospital swasta yang tidak tertakluk kepada kawal selia.
Lonjakan caj komponen bukan profesional itu termasuk bekalan dan peralatan, ubat-ubatan, peningkatan harga ubatan, caj ujian diagnostik dan makmal.
Ia turut merangkumi kos penggunaan teknologi dan rawatan yang lebih mahal, kos operasi hospital swasta yang semakin meningkat seperti tenaga kerja, utiliti dan teknologi, serta kos litigasi dan rawatan defensif juga semakin memberi tekanan.
Laporan PAC itu turut mendapati ketiadaan struktur pengebilan hospital swasta yang standard menyebabkan kos sebenar perkhidmatan dan item asas tidak dapat dicerminkan secara telus.
Menurut PAC, harga ubat yang tinggi sering digunakan bagi menampung kos operasi lain yang tidak dicaj secara langsung seperti kos kejururawatan dan utiliti, selain PAC menemukan amalan memecahkan caj bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan alkohol swab yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik atau perkhidmatan asas.
PAC turut mendapati wujud amalan diskriminasi harga apabila hospital mengenakan kadar caj lebih tinggi kepada pesakit yang menggunakan surat jaminan (GL) berbanding mereka yang membayar secara tunai atau menggunakan kaedah bayar dan tuntut.
Selain itu, terdapat 'mark-up' median yang tinggi pada pelbagai peringkat rantaian bekalan ubat, termasuk keadaan di mana ubat generik di hospital kadangkala dicaj lebih mahal daripada ubat berjenama.
Malah keadaan itu diburukkan lagi dengan kewujudan lebih 1,500 jenis ubat yang hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar di Malaysia, sekali gus mewujudkan monopoli yang membolehkan penetapan harga tinggi tanpa persaingan.
























