KUALA LUMPUR: Perniagaan di Malaysia kini mempunyai tempoh sehingga penghujung 2027 untuk membetulkan sebarang kesilapan pelaksanaan e-Invois secara sukarela tanpa dikenakan penalti, sekali gus memberi ruang kepada syarikat memperkemaskan sistem pematuhan sebelum penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan.
Pengarah Eksekutif syarikat perunding cukai, TRATAX Sdn Bhd, Thenesh Kannaa berkata, langkah itu dilihat sebagai pendekatan yang lebih bersifat mendidik dan memudahkan pembayar cukai menyesuaikan diri dengan keperluan baharu, berbanding memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.
Beliau berkata, perniagaan yang gagal mematuhi keperluan e-Invois boleh dikenakan penalti antara RM200 hingga RM20,000 bagi setiap ketidakpatuhan.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa kini memberi peluang kepada pembayar cukai untuk membetulkan sebarang kesilapan tanpa dikenakan penalti, selagi pembetulan dibuat secara sukarela sebelum 31 Disember 2027.
"Masih terdapat jurang pematuhan yang tidak disengajakan akibat kerumitan operasi perniagaan atau kekangan sistem.
"Peluang ini membolehkan syarikat membetulkan kelemahan berkenaan tanpa dikenakan penalti," katanya kepada BH.
Justeru itu, Kannaa berkata, semua perniagaan digesa menjalankan semakan kesihatan pematuhan atau audit kendiri bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan e-Invois sebelum tempoh kelonggaran berakhir.
Jelasnya, langkah proaktif itu penting bagi memastikan proses peralihan kepada sistem baharu berjalan lancar selain mengurangkan risiko ketidakpatuhan pada masa hadapan.
Katanya, pengenalan e-Invois turut menyumbang kepada pencapaian kutipan cukai rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang melepasi RM200 bilion buat kali pertama bagi tahun fiskal 2025, walaupun tiada cukai langsung utama baharu diperkenalkan pada tahun berkenaan.
"Pencapaian itu membuktikan bahawa peningkatan pematuhan cukai mampu menyokong kedudukan fiskal kerajaan tanpa perlu terlalu bergantung kepada pengenalan cukai baharu yang memberi tekanan kepada pembayar cukai yang sedia patuh," katanya.
Mengulas lanjut, Kannaa berkata, e-Invois bukanlah cukai baharu, sebaliknya mekanisme pentadbiran yang meningkatkan ketelusan transaksi.
"Anggaplah e-Invois seperti kamera litar tertutup (CCTV) dalam ekosistem bil dan perakaunan sesebuah organisasi yang meningkatkan kebolehlihatan transaksi kepada pihak berkuasa cukai.
"Kewujudannya secara semula jadi dapat mengurangkan pelaporan pendapatan yang tidak tepat sama ada disengajakan atau sebaliknya, selain menggalakkan syarikat menyemak semula amalan perniagaan konvensional bagi memastikan tiada jurang pematuhan," katanya.
Kannaa berkata, walaupun manfaat e-Invois semakin jelas, pelaksanaannya memerlukan perubahan terhadap proses operasi, sistem dan amalan perniagaan, khususnya bagi syarikat yang mempunyai jumlah transaksi tinggi atau model perniagaan yang kompleks.
Katanya, pendidikan berterusan, garis panduan yang jelas serta sokongan teknikal mencukupi amat penting bagi memastikan pelaksanaan sistem itu berjalan lancar.
Dalam jangka panjang, e-Invois katanya bukan sekadar inisiatif percukaian, malah sebahagian daripada transformasi digital yang akan mengubah cara perniagaan merekod dan mengurus transaksi.
Menurutnya, sistem itu berpotensi meningkatkan kecekapan operasi melalui rekod transaksi yang lebih tersusun, mengurangkan kesilapan manual serta mempercepatkan proses semakan dan audit dalaman.
"Ketika ini, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan perolehan tahunan di bawah RM1 juta dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.
"Jadi diharapkan kemajuan teknologi pada masa hadapan membolehkan pelaksanaan e-Invois diperluaskan kepada lebih banyak perniagaan tanpa meningkatkan kos atau kerumitan operasi," katanya.
























