KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada masa depan bukan lagi untuk melahirkan sebuah lagi Pulau Pinang, sebaliknya menghubungkan kelebihan negeri itu dengan Sabah dan Sarawak dalam satu sistem pengeluaran nasional yang benar-benar bersepadu bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih menyeluruh.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata pendekatan itu mampu membentuk rantaian nilai domestik yang lebih kukuh apabila kekuatan setiap wilayah saling melengkapi, sekali gus membolehkan limpahan pelaburan, pekerjaan, inovasi dan permintaan dirasai di seluruh negara.
Beliau berkata, tenaga bersih dari Sarawak menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi di Semenanjung, manakala hasil pertanian dan sumber marin Sabah diproses menjadi produk bernilai tinggi menerusi teknologi serta kejuruteraan yang dibangunkan di Pulau Pinang.
"Pada masa sama, syarikat di Semenanjung pula memperoleh lebih banyak input, bahan perantaraan dan perkhidmatan daripada perusahaan di Sabah dan Sarawak.
"Apabila hubungan pengeluaran seperti ini diperkukuh, pertumbuhan di satu wilayah tidak lagi terhad kepada wilayah itu sahaja, malah turut mewujudkan pelaburan, pekerjaan, inovasi dan permintaan di seluruh negara. Inilah yang dimaksudkan dengan integrasi ekonomi yang sebenar," katanya kepada BH.
Samirul berkata, selama lebih enam dekad, perbahasan mengenai pembangunan wilayah di Malaysia banyak tertumpu kepada persoalan pengagihan termasuk hasil petroleum, royalti, geran Persekutuan, peruntukan pembangunan serta hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, semua perkara itu penting kerana membabitkan soal keadilan, tanggungjawab Perlembagaan dan perpaduan negara, namun apabila ekonomi Malaysia semakin matang, fokus perlu diperluaskan kepada persoalan cara kekayaan negara dicipta, bukan sekadar diagihkan.
"Persoalan sebenar hari ini bukan lagi sama ada Sabah dan Sarawak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kerana kedua-dua wilayah sememangnya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
Beliau berkata, pada 2024, Sarawak menyumbang sekitar RM148.2 bilion kepada ekonomi negara, manakala Sabah menyumbang kira-kira RM84.3 bilion, sekali gus menjadikan kedua-duanya penyumbang penting kepada KDNK Malaysia.
"Persoalan yang lebih penting ialah sama ada Semenanjung, Sabah dan Sarawak benar-benar berfungsi sebagai satu sistem pengeluaran nasional atau sekadar tiga ekonomi wilayah yang berkembang secara selari, tetapi tidak saling memperkukuh," katanya.
Samirul berkata, KDNK hanya menunjukkan jumlah output yang dihasilkan, namun tidak menjelaskan bagaimana output itu diwujudkan, termasuk sumber input industri, hubungan antara firma serta aliran nilai tambah merentasi wilayah.
Sehubungan itu, beliau berkata, analisis input-output wilayah menjadi penting kerana bukan sahaja mengukur output, malah meneliti hubungan antara industri, aliran input, rantaian bekalan dan kesan pengganda yang terhasil daripada sesuatu aktiviti ekonomi.
Beliau menambah bahawa Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki kelebihan tersendiri, namun struktur ekonomi ketiga-tiga wilayah itu amat berbeza dan boleh saling melengkapi jika dihubungkan melalui rantaian nilai domestik yang lebih kukuh.
Katanya, Pulau Pinang berkembang menerusi industri elektrik dan elektronik (E&E), kejuruteraan, automasi serta aktiviti pembuatan bernilai tambah tinggi yang disokong rangkaian pembekal tempatan, syarikat kejuruteraan, institusi penyelidikan, penyedia logistik dan tenaga kerja mahir.
























