KUALA LUMPUR: Kejayaan pelaksanaan sistem e-Invois mengesan tambahan kutipan cukai sebanyak RM1.009 bilion disifatkan sebagai petunjuk awal bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk mengurangkan saiz ekonomi gelap, sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Harvindar Singh, berkata e-Invois merupakan instrumen penting dalam meningkatkan pematuhan cukai kerana ia membolehkan kerajaan mengesan transaksi yang sebelum ini tidak direkodkan secara rasmi.
Beliau berkata, jika sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua lapisan perniagaan tanpa pengecualian, sebahagian besar aktiviti ekonomi tidak formal dapat diserap ke dalam ekonomi formal.
Katanya, e-Invois mampu menjadi pemangkin utama dalam memperluaskan asas percukaian negara sekali gus memberi kesan besar terhadap usaha mengurangkan ekonomi gelap.
Namun, beliau berkata pelaksanaannya perlu diperluaskan kepada semua peringkat tanpa sebarang pengecualian bagi memastikan objektif itu benar-benar tercapai.
"Malaysia mempunyai potensi untuk mengurangkan saiz ekonomi gelap kepada di bawah 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), seperti yang dicapai kebanyakan negara maju.
"Bagaimanapun, sasaran itu dijangka mengambil masa sekitar tiga hingga lima tahun, terutama apabila semua pengecualian pelaksanaan e-Invois akhirnya dimansuhkan," katanya kepada BH.
Laporan eksklusif BH pada Isnin mendedahkan pelaksanaan e-Invois membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan lebih 52,540 pembayar cukai yang secara sukarela mengisytiharkan tambahan pendapatan bercukai sebanyak RM4.07 bilion, sekali gus menyumbang kutipan cukai tambahan berjumlah RM1.009 bilion.
Mengulas lanjut, Harvindar berkata peningkatan hasil kerajaan hasil pelaksanaan e-Invois juga berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh terdekat.
Beliau menjelaskan, peningkatan tahap pematuhan cukai melalui e-Invois mampu mengurangkan tekanan untuk memperkenalkan semula GST dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini masih mempunyai beberapa kelemahan, manakala mekanisme GST diakui lebih cekap daripada sudut pentadbiran cukai.
"Malah, berdasarkan maklumat daripada LHDN, sistem e-Invois juga telah direka bentuk untuk menyokong pelaksanaan GST sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya pada masa hadapan," katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa e-Invois akan meningkatkan kos pematuhan perniagaan, Harvindar berkata tanggapan itu tidak semestinya tepat kerana pelbagai penyelesaian digital pada kos mampu milik kini tersedia di pasaran.
Beliau berkata, terdapat aplikasi dan perisian e-Invois yang boleh digunakan oleh perniagaan pada kos kurang daripada RM50 sebulan.
"Kos pematuhan mungkin menjadi kebimbangan kepada sesetengah perniagaan, namun realitinya terdapat banyak aplikasi dan perisian mampu milik yang tidak membebankan.
"Selain itu, LHDN turut memperkenalkan penggunaan kod QR yang membolehkan transaksi dijalankan hampir sama seperti penggunaan kod QR di pasar awam dan premis kecil ketika ini bagi memenuhi keperluan e-Invois.
"Perkara yang lebih penting ialah memperluaskan usaha pendidikan, kesedaran dan kefahaman mengenai kemudahan yang disediakan supaya perusahaan mikro serta peniaga kecil tidak menganggap e-Invois sebagai beban tambahan," katanya.
Harvindar berkata, dalam jangka panjang, pelaksanaan e-Invois bukan sahaja meningkatkan ketelusan dan pematuhan cukai, malah membantu memperluaskan asas cukai negara, mengurangkan ketirisan hasil serta mewujudkan sistem percukaian yang lebih adil tanpa membebankan pembayar cukai yang sedia mematuhi undang-undang.
























