sKUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh apabila mencatat nilai bulanan tertinggi baharu pada Jun 2026 sebanyak RM340.89 bilion, meningkat 44.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Eksport meningkat 45.4 peratus kepada RM177.89 bilion, manakala import berkembang 43.9 peratus kepada RM163.00 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM14.89 bilion, lebihan yang ke-74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Prestasi memberangsangkan itu sekali gus mengukuhkan momentum positif yang dicapai sepanjang separuh pertama 2026 apabila jumlah perdagangan negara meningkat 22.4 peratus kepada RM1.796 trilion, mencerminkan daya tahan sektor luar dalam persekitaran global yang semakin dinamik berikutan ketidaktentuan geopolitik, cabaran logistik serta permintaan global yang tidak menentu.
Pada separuh pertama 2026, eksport berkembang 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion dan import naik 16.9 peratus kepada RM824.44 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion.
Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun, disokong oleh integrasi kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pertumbuhan eksport sepanjang separuh pertama 2026 telah disumbangkan oleh kekuatan eksport barangan perkilangan negara, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat hampir RM140 bilion, didorong oleh permintaan global yang berterusan, kemajuan teknologi serta peningkatan penggunaan teknologi digital dalam pasaran utama.
"Barangan perkilangan lain yang turut mencatatkan prestasi memberangsangkan ialah keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan logam.
"Eksport hasil galian turut menyumbang secara positif, khususnya bijih logam dan serpihan logam serta gas asli cecair (LNG)," katanya dalam satu kenyataan.

Dari perspektif pasaran, MITI berkata, pertumbuhan eksport disokong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), kesemuanya merekodkan pertumbuhan memberangsangkan.
Ia berkata, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut berkembang menerusi pelbagai kategori barangan, didorong oleh pertumbuhan eksport ke pasaran utama termasuk Hong Kong, Korea, Mexico, India, Australia, United Kingdom (UK), Jepun, Pakistan, Kanada dan New Zealand.
Menurut MITI, prestasi perdagangan yang lebih kukuh turut diterjemahkan dalam peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.
Ia berkata, mengikut IMD World Competitiveness Ranking 2026, Malaysia mencatat lonjakan lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15, didorong oleh pengukuhan dalam prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan.
Pencapaian itu, jelasnya, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing di tengah-tengah persekitaran global yang semakin mencabar.
"Meskipun risiko masih wujud berikutan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan berterusan dalam perdagangan global, sektor perdagangan luar Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang tinggi.
"Berdasarkan prestasi kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama 2026, beberapa barangan serta pasaran eksport utama dijangka mencatatkan paras tertinggi baharu secara keseluruhannya bagi tahun ini, disokong oleh prestasi barangan E&E serta permintaan mampan daripada rakan dagang utama," katanya.
Melangkah ke hadapan, MITI berkata, usaha berterusan untuk memaksimumkan penggunaan FTA, mempelbagaikan destinasi eksport serta meningkatkan eksport berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi akan terus menjadi pemacu penting dalam mengekalkan momentum perdagangan dan memperkukuh daya tahan eksport Malaysia.
























