KUALA LUMPUR: Anggaran awal pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan bagi suku kedua dan separuh pertama 2026 mendorong unjuran keseluruhan tahun yang lebih optimistik, malah ada yang menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 berpotensi melepasi paras 5.0 peratus meskipun dibayangi ketidaktentuan konflik geopolitik.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK Malaysia pada suku kedua dijangka berkembang kukuh 5.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya, sementara bagi separuh pertama 2026, ekonomi negara ini dijangka berkembang 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
TA Securities berkata, berdasarkan anggaran awal DOSM itu, pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama tahun ini dipacu oleh prestasi kukuh kebanyakan sektor utama, khususnya duti import yang berkembang 23.8 peratus, diikuti pembinaan (7.1 peratus), pembuatan (6.7 peratus), perkhidmatan (5.5 peratus) dan perlombongan (3.6 peratus).
Bagaimanapun, ia berkata, sektor pertanian kekal mencatatkan penguncupan sebanyak 0.7 peratus dalam tempoh sama.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini berikutan proses normalisasi beberapa petunjuk ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik yang masih berpotensi menjejaskan permintaan global.
Buat masa ini, pihaknya masih mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus bagi suku ketiga dan 4.0 peratus pada suku keempat 2026.
"Namun, prestasi separuh pertama yang lebih baik daripada jangkaan dijangka memacu pertumbuhan ekonomi tahunan kepada sekitar 4.9 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran asal kami antara 4.3 hingga 4.7 peratus.
"Ini juga selari dengan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa pertumbuhan ekonomi negara berpotensi menghampiri paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi 4.0 hingga 5.0 peratus, disokong asas ekonomi domestik yang kekal kukuh," katanya dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, BIMB Securities Research berpandangan bahawa ekonomi Malaysia berpotensi berkembang melebihi 5.0 peratus tahun ini, didorong harga komoditi yang masih tinggi, termasuk minyak mentah Brent sekitar AS$95 setong dan minyak sawit mentah (MSM) hampir RM4,400 satu tan.
Katanya, sektor pembuatan dijangka terus menjadi pemacu utama hasil permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu kecerdasan buatan (AI), selain manfaat daripada tarif perdagangan yang lebih rendah dan permintaan serantau yang stabil bagi produk petroleum bertapis.
Menurutnya, sektor pembinaan pula dijangka terus disokong oleh pelaburan pusat data dan pelaksanaan projek pelaburan langsung asing (FDI), manakala sektor perkhidmatan akan terus berkembang dengan sokongan inflasi yang terkawal, pasaran buruh yang kukuh serta peningkatan ketibaan pelancong, walaupun pada kadar yang lebih sederhana berikutan kos tambang penerbangan yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, MBSB Research turut mengingatkan bahawa beberapa risiko masih boleh menjejaskan momentum ekonomi pada separuh kedua tahun ini, termasuk kemungkinan ketegangan geopolitik kembali memuncak sehingga mengganggu rantaian bekalan global.
Selain itu, katanya, dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat boleh memberi tekanan kepada prospek eksport Malaysia, terutama jika peningkatan eksport sebelum ini banyak disumbangkan oleh aktiviti eksport semula dan penghantaran awal yang dijangka tidak berkekalan.
"Di peringkat domestik pula, peningkatan inflasi berpotensi menjejaskan sentimen pengguna sekiranya syarikat memindahkan kenaikan kos pengeluaran kepada harga jualan," katanya.
Pada masa sama, Philip Capital melihat prospek ekonomi Malaysia kekal positif dengan sektor E&E dijangka terus mendapat manfaat daripada kitaran pertumbuhan industri semikonduktor global yang masih belum mencapai kemuncaknya.
Firma itu berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyokong peningkatan gaji, sekali gus merangsang aktiviti sektor perkhidmatan.
Selain itu, ia berkata, pemulihan ketibaan pelancong serta pelaksanaan berterusan projek pelaburan yang diluluskan sejak tiga tahun lalu dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Walaupun sektor pembinaan menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan, Philip Capital menyifatkannya sebagai proses normalisasi selepas mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam tempoh dua tahun sebelum ini.
Justeru, firma berkenaan berpandangan imbangan risiko terhadap ekonomi Malaysia kini lebih cenderung kepada faktor positif dan dijangka turut menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2026 selepas data rasmi suku kedua diumumkan pada 14 Ogos depan.
























