BH Online
Ringkasan Berita

Harga minyak, rizab petroleum cetus risiko utama ekonomi dunia

KUALA LUMPUR: Penyusutan rizab petroleum strategik (SPR) global serta risiko peningkatan harga minyak susulan ketegangan geopolitik menjadi antara faktor utama yang perlu dipantau terhadap pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2026 walaupun ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan berdepan tekanan luaran.
Harga minyak, rizab petroleum cetus risiko utama ekonomi dunia

Sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga boleh memberi kesan kepada harga minyak, kos logistik dan inflasi global - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

KUALA LUMPUR: Penyusutan rizab petroleum strategik (SPR) global serta risiko peningkatan harga minyak susulan ketegangan geopolitik menjadi antara faktor utama yang perlu dipantau terhadap pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2026 walaupun ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan berdepan tekanan luaran.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli, berkata walaupun ekonomi global setakat ini berjaya mengelak daripada krisis tenaga, ruang penampan semakin berkurangan susulan penyusutan rizab petroleum strategik beberapa ekonomi utama.

Beliau berkata, ekonomi global dan ekonomi Malaysia setakat ini berjaya menahan tekanan daripada peningkatan harga minyak global, malah daya tahan itu masih wujud, tetapi terdapat risiko yang dikhuatiri semakin meningkat terhadap ekonomi global.

"Risiko utama yang boleh berlaku pada separuh kedua tahun ini adalah rizab petroleum strategik global yang semakin berkurangan. Kita berada dalam keadaan di mana penampan tenaga global tidak lagi seperti sebelum ini.

"Sebagai contoh, ketika konflik Asia Barat tercetus, AmBank menjangkakan harga minyak global masih terkawal kerana ekonomi dunia mempunyai rizab tenaga yang mencukupi yang bertindak sebagai penampan.

"Namun, rizab petroleum strategik Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini dilihat sebagai perlindungan sekiranya berlaku gangguan bekalan kini telah menyusut daripada sekitar 350 juta tong kepada kira-kira 330 juta tong, yang menunjukkan pengurangan ketara," katanya membentangkan Tinjauan Ekonomi Separuh Kedua 2026 AmBank, di sini, baru-baru ini.

Firdaos menambah, perkembangan konflik Asia Barat menjadi faktor penting yang perlu diberi perhatian kerana sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga boleh memberi kesan kepada harga minyak, kos logistik serta inflasi global.

Bagaimanapun, beliau berkata, AmBank tidak menjangkakan harga minyak meningkat secara mendadak berdasarkan senario asas semasa, disokong permintaan minyak China yang lebih rendah serta peningkatan kapasiti pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS).

"Berdasarkan keadaan semasa, kami tidak melihat harga minyak akan melonjak di luar kawalan. Namun, peningkatan ketegangan geopolitik boleh mengubah keadaan dengan pantas," katanya.

Jelasnya, bagi harga semasa, minyak mentah Brent kini berada sekitar AS$84 hingga AS$85 setong.

"Walaupun begitu, unjuran asas kami masih meletakkan harga purata Brent pada AS$90 setong bagi tahun ini. Angka itu adalah berdasarkan purata tahunan dan bukan bermaksud harga minyak akan kekal pada paras AS$90 sepanjang separuh kedua tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, tekanan inflasi kini bukan sahaja berpunca daripada faktor tenaga, tetapi semakin dipengaruhi peningkatan kos pengangkutan dan logistik global susulan gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan tekanan harga kekal menjadi cabaran kepada ekonomi global walaupun proses penyederhanaan inflasi sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.

Sementara itu, bagi Malaysia, Firdaos berkata kesan kenaikan harga minyak global dijangka masih terkawal berikutan subsidi kerajaan yang berperanan sebagai penampan kepada tekanan inflasi.

AmBank menjangkakan inflasi Malaysia berada sekitar 2.0 peratus bagi 2026, manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus.

Video Terkini

Berita Berkaitan