BH Online
Ringkasan Berita

AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.8 peratus

KUALA LUMPUR: AmBank Group menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini, mencerminkan daya tahan ekonomi negara walaupun berdepan ketidaktentuan global serta peningkatan risiko geopolitik.
AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.8 peratus

Firdaos membentangkan Tinjauan Ekonomi Separuh Kedua 2026 AmBank di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: AmBank Group menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini, mencerminkan daya tahan ekonomi negara walaupun berdepan ketidaktentuan global serta peningkatan risiko geopolitik.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli, berkata ia dibuat selepas mengambil kira prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini, selain momentum pertumbuhan yang dijangka berterusan memasuki separuh kedua 2026.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia berjaya menahan tekanan luaran termasuk konflik Asia Barat, peningkatan harga minyak dan peningkatan kos logistik global yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap pertumbuhan.

"Ekonomi Malaysia sebenarnya lebih kukuh dan dijangka mampu menahan kejutan luaran buat masa ini. Sokongan kerajaan dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi tonggak pertumbuhan Malaysia pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya," katanya ketika membentangkan Tinjauan Ekonomi Separuh Kedua 2026 AmBank, di sini, hari ini.

Firdaos berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan terus disokong oleh kitaran teknologi global, khususnya peningkatan permintaan terhadap semikonduktor dan produk elektrik serta elektronik (E&E).

"Malaysia berada dalam kedudukan strategik dalam rantaian bekalan global E&E, sekali gus berpotensi mendapat manfaat daripada perkembangan industri AI yang menjadi pemacu utama pelaburan dan perdagangan dunia.

"Ledakan AI adalah sebahagian penting dalam kisah pelaburan dan eksport Malaysia. Ia membantu mengimbangi kelemahan yang mungkin berlaku dalam struktur ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, perdagangan semikonduktor global dijangka berkembang dengan ketara tahun ini, manakala prestasi eksport Malaysia turut mendapat sokongan daripada kitaran teknologi berkenaan.

Sementara itu, Firdaos menambah keyakinan terhadap ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pelaburan diluluskan terus tertumpu di pusat ekonomi utama negara.

Katanya, Jepun muncul sebagai sumber terbesar pelaburan diluluskan pada suku pertama 2026, manakala kitaran pelaburan walaupun menunjukkan penyederhanaan, tidak menunjukkan tanda-tanda kemerosotan akibat ketegangan geopolitik.

"Walaupun kitaran pelaburan sedang sederhana, ia tidak menurun. Malah, perubahan konfigurasi rantaian bekalan global akibat ketegangan perdagangan dan geopolitik mungkin memberi peluang kepada Malaysia sebagai ekonomi yang stabil," katanya.

Tambah beliau, sektor pembuatan, pembinaan dan logistik dijangka antara sektor yang mendapat manfaat susulan perubahan corak perdagangan global.

"Kedudukan fiskal kerajaan dijangka terus memberi sokongan kepada ekonomi dengan kutipan hasil yang lebih baik daripada jangkaan memberikan ruang untuk meneruskan langkah bantuan dan subsidi bersasar.

"Kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk menyokong ekonomi, khususnya bagi memastikan pertumbuhan tidak terjejas akibat tekanan luaran.

"Penyatuan fiskal bukan hanya mengenai pemotongan perbelanjaan, tetapi juga memastikan KDNK nominal terus berkembang supaya nisbah hutang dapat diuruskan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, AmBank menjangkakan inflasi Malaysia berada sekitar 2.0 peratus bagi 2026, manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus.

Firdaos berkata, walaupun tekanan harga meningkat susulan faktor tenaga dan kos logistik, keadaan itu masih terkawal dan tidak memerlukan perubahan dasar monetari buat masa ini.

"Subsidi kerajaan kekal menjadi penampan kepada inflasi dan kami tidak menjangka keperluan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengubah kadar faedah buat masa ini," katanya.

Secara keseluruhan, AmBank mengekalkan pandangan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan unjuran pertumbuhan 4.8 peratus bagi 2026, disokong asas makroekonomi yang kukuh serta peluang daripada kitaran teknologi global.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menganggarkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama, disokong prestasi hampir semua sektor ekonomi.

Bagi separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan