BH Online
Ringkasan Berita

Campur tangan kerajaan berjaya pastikan bekalan minyak negara terjamin

CYBERJAYA: Langkah intervensi kerajaan sejak tercetusnya konflik di Asia Barat berjaya memastikan bekalan minyak negara kekal terjamin, mengurus tekanan harga supaya tidak membebankan rakyat serta mengelakkan gangguan bekalan input kepada industri, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.
Campur tangan kerajaan berjaya pastikan bekalan minyak negara terjamin

Akmal Nasrullah berucap pada Program Ekosistem Pemula TERAJU: Suara, Visi dan Aspirasi di Cyberjaya, hari ini - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

CYBERJAYA: Langkah intervensi kerajaan sejak tercetusnya konflik di Asia Barat berjaya memastikan bekalan minyak negara kekal terjamin, mengurus tekanan harga supaya tidak membebankan rakyat serta mengelakkan gangguan bekalan input kepada industri, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan memantau perkembangan konflik itu secara mingguan sebelum membuat beberapa keputusan penting bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

Beliau berkata, sehingga kini bekalan minyak negara tidak mengalami sebarang gangguan, manakala pelbagai langkah turut dilaksanakan bagi mengawal impak kenaikan harga serta memastikan operasi sektor industri berjalan lancar.

"Sehingga hari ini tidak berlaku putus bekalan minyak. Dari segi harga, kita perlu menguruskannya dan memastikan ia tidak membebankan rakyat terlalu ketara.

"Seterusnya kita juga melihat dari segi intervensi untuk mengelakkan berlakunya penutupan di mana-mana industri kerana gangguan bekalan input dan perkara itu berjaya kita atasi daripada memberi kesan yang lebih ketara," katanya pada sidang media Program Ekosistem Pemula TERAJU: Suara, Visi dan Aspirasi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Junady Nawawi.

Akmal Nasrullah berkata, hasil intervensi berterusan itu membolehkan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding pertumbuhan 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

Katanya, angka berkenaan adalah anggaran awal, manakala data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua akan diumumkan pada bulan depan.

"Alhamdulillah, berdasarkan dapatan awalan, anggaran KDNK bagi suku kedua ialah 5.8 peratus. Kita merasakan kegiatan ekonomi itu masih berlaku dalam keadaan semua cabaran yang ada.

"Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan melakukan intervensi tertentu sepanjang krisis bagi membolehkan permasalahan dan cabaran itu dapat kita atasi bersama," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding suku pertama menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Jelasnya, kejayaan mengurangkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi turut membuktikan langkah intervensi kerajaan berjaya meredakan kebimbangan yang timbul susulan konflik berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa kerana konflik geopolitik masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dan keadaan boleh berubah dengan pantas pada bila-bila masa.

"Setakat ini pertumbuhan itu menunjukkan aktiviti ekonomi masih berlangsung dengan baik, namun kita perlu terus berwaspada terhadap apa juga cabaran yang boleh berlaku," katanya.

Mengulas agihan manfaat pertumbuhan ekonomi, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan mahu manfaat itu turut dinikmati usahawan kecil dan syarikat pemula niaga Bumiputera, bukan hanya diterjemahkan melalui angka pertumbuhan semata-mata.

Beliau berkata, jurang antara syarikat pemula niaga dengan syarikat yang berjaya berkembang ke pasaran lebih besar perlu dirapatkan melalui ekosistem sokongan yang menyeluruh.

"TERAJU perlu memainkan peranan lebih besar bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah membantu proses penskalaan syarikat menerusi pembangunan bakat, perkongsian kemahiran dan jaringan industri," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan