BH Online
Ringkasan Berita

Ringgit diunjur kembali kukuh pada separuh kedua tahun ini - AmBank

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kembali kukuh dalam tempoh separuh kedua 2026 selepas mengalami tekanan susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan perubahan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).
Ringgit diunjur kembali kukuh pada separuh kedua tahun ini - AmBank

Prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan menjadi faktor utama mengehadkan tekanan terhadap ringgit - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kembali kukuh dalam tempoh separuh kedua 2026 selepas mengalami tekanan susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan perubahan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli, berkara secara keseluruhannya mata wang tempatan dijangka kekal stabil berbanding dolar AS tahun ini dengan disokong asas makroekonomi Malaysia yang terus kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.

"Ringgit susut sekitar 0.6 peratus berbanding dolar AS pada separuh pertama 2026, selepas melalui beberapa episod turun naik sejak beberapa bulan lalu. Kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit berada dalam julat sekitar RM3.90 hingga RM4.05 sejak Februari, sebelum tekanan meningkat apabila pasangan mata wang itu melonjak hampir tiga peratus pada Jun sahaja.

"Tekanan terhadap ringgit terutama disebabkan penilaian semula pasaran terhadap hasil bon jangka pendek AS susulan unjuran Fed yang lebih agresif.

"Pada masa sama, kestabilan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang disokong pelabur tempatan serta jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil telah menyebabkan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS melebar, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit," katanya ketika membentangkan Tinjauan Ekonomi Separuh Kedua 2026 AmBank di sini, hari ini.

Firdaos berkata, kelemahan ringgit yang berlaku baru-baru ini lebih mencerminkan penetapan semula jangkaan pasaran terhadap dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) berbanding kelemahan ekonomi domestik.

Beliau menambah, prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan menjadi faktor utama yang mengehadkan tekanan terhadap ringgit, sekali gus menyokong prospek mata wang tempatan dalam tempoh separuh kedua tahun ini.

"Kekuatan domestik sebenarnya menghalang dolar-ringgit daripada meningkat lebih tinggi. Terdapat had kepada pergerakan dolar-ringgit pada separuh kedua tahun ini kerana prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh setakat ini dan dijangka berterusan," katanya.

Menurut Firdaos lagi, AmBank melihat ringgit berada dalam keadaan lebih stabil berikutan asas ekonomi negara yang terus menyokong pertumbuhan, walaupun pasaran global berdepan ketidaktentuan susulan konflik Asia Barat serta jangkaan perubahan kadar faedah AS.

Beliau berkata, AmBank menjangkakan ringgit berpotensi pulih sedikit dalam tempoh terdekat selepas pasaran sebelum ini mengambil kira kemungkinan dasar Fed yang lebih ketat.

"Berdasarkan unjuran kami yang menjangkakan hanya satu kenaikan kadar Fed menjelang akhir 2026, ringgit sepatutnya mendapat sokongan untuk bergerak dalam julat nilai saksama sekitar RM4.05 hingga RM4.10 pada separuh kedua tahun ini.

"Prospek ringgit bukan bergantung kepada kelemahan ekonomi Malaysia, tetapi lebih kepada faktor luaran seperti perubahan kadar faedah global dan permintaan terhadap dolar AS," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan