BH Online
Ringkasan Berita

Ekonomi Malaysia dianggar berkembang kukuh 5.8 peratus pada suku kedua

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua dijangka kekal berdaya tahan, berkembang sebanyak 5.8 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Ekonomi Malaysia dianggar berkembang kukuh 5.8 peratus pada suku kedua

Pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada 5.6 peratus bagi separuh tahun pertama 2026 - NSTP/AHMAD UKASYAH

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua dijangka kekal berdaya tahan, berkembang sebanyak 5.8 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), unjuran itu disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali pertanian yang mengalami penyusutan.

"Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada 5.6 peratus bagi separuh tahun pertama 2026 berbanding 4.5 peratus pada tempoh sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan Anggaran KDNK Awalan, Suku Tahun Kedua yang diterbitkan DOSM, hari ini.

Pada suku pertama lalu, ekonomi negara berkembang 5.4 peratus, dipacu oleh pertumbuhan penggunaan swasta, pelaburan serta aktiviti sektor perkhidmatan yang terus kukuh.

Berdasarkan anggaran awal itu, KDNK Malaysia berada dalam landasan terbaik untuk mencapai unjuran rasmi yang dibuat bagi tahun ini, malah berkemungkinan mengatasi sebahagian besar jangkaan yang dibuat oleh firma-firma penyelidikan utama.

Unjuran rasmi KDNK Malaysia bagi 2026 adalah antara 4.0 hingga 5.0 peratus mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), manakala Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan sasaran yang lebih berhati-hati iaitu antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

KDNK Malaysia mencatat pertumbuhan 5.2 peratus bagi keseluruhan 2025, meneruskan momentum pengembangan ekonomi hasil permintaan domestik yang kukuh, prestasi eksport yang baik serta peningkatan aktiviti pelaburan.

Mengulas lanjut, DOSM berkata sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun kedua 2026 dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus.

"Pertumbuhan yang stabil ini disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

"Dalam pada itu, sektor pembuatan terus mengukuh kepada 7.5 peratus didorong oleh industri yang berorientasikan eksport terutamanya pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik," katanya.

Sementara itu, DOSM berkata sepanjang tempoh sama prestasi sektor perlombongan dan pengkuarian kembali pulih dengan merekodkan peningkatan 10.2 peratus didorong oleh subsektor gas asli.

Ia berkata, sektor pembinaan pula tumbuh sederhana dengan kadar 6.6 peratus berbanding peningkatan 7.7 peratus pada suku tahun pertama 2026 disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman bagi projek pembinaan pusat data dan aktiviti

pembinaan pertukangan khas.

"Walau bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, susulan penurunan dalam semua subsektor kecuali pertanian lain dan ternakan," katanya.

Dalam pada itu, DOSM berkata bahawa KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun kedua 2026 akan diterbitkan pada 14 Ogos ini.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) baru-baru ini menjangkakan KDNK Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ini, selari dengan unjuran rasmi kerajaan.

Ketua Ahli Ekonomi HLIB, Felicia Ling, berkata pihaknya menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.7 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini, disokong oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Beliau berkata, sektor lain seperti perkhidmatan pula banyak bergantung kepada permintaan domestik dan terus berkembang secara stabil.

Video Terkini

Berita Berkaitan