KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan Siti Asiah Ahmad sebagai Ketua Perangkawan Ke-10, berkuat kuasa hari ini, bagi menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam memperkukuh penyediaan statistik rasmi negara yang lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai.
Siti Asiah, 51, telah berkhidmat hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti dengan memulakan kerjaya sebagai Perangkawan pada 1998 sebelum menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran serta rekod perkhidmatan cemerlang Siti Asiah untuk menerajui DOSM.
"Pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui DOSM.
"Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dan menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan.
"Selain itu, struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh menerusi pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) dan Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Perangkawan, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.
Sepanjang perkhidmatan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama, penyediaan statistik kos sara hidup serta usaha memperkukuh Sistem Statistik Negara.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Selain itu, kepakaran beliau turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi pembabitan dalam pelbagai kumpulan kerja statistik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan.
Dalam perkembangan sama, struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh menerusi pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) selain Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).
Akmal berkata, kepimpinan baharu itu diyakini mampu memperkukuh kredibiliti statistik rasmi negara, sekali gus menyokong perancangan pembangunan yang lebih tepat, telus dan berasaskan bukti.
Beliau menjelaskan, pengukuhan kepimpinan DOSM adalah selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan sistem statistik negara bagi memenuhi keperluan pembentukan dasar yang lebih responsif dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial yang semakin dinamik.
























