KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Kyaputen Sdn Bhd dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen serta terbabit dalam kesalahan pengubahan wang haram membabitkan kerugian pelabur berjumlah RM1.263 juta.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, hukuman terhadap Muhamad Fadzli Jamaludin itu dilaksanakan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap satu daripada 12 pertuduhan yang dihadapinya dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak.
Muhamad Fadzli sebelum ini didakwa SC pada 9 November 2023 atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana mengemukakan dirinya sebagai menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen.
Beliau kemudian berdepan sembilan lagi pertuduhan pada 29 November 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan pengubahan wang haram.
Kedua-dua kes itu dibicarakan secara bersama.
SC berkata, sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk enam mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan RM1.263 juta.
Kesalahan itu katanya didakwa dilakukan antara Ogos 2018 hingga April 2020 di Kuala Lumpur dan Melaka.
Ketika prosiding pembelaan, Muhamad Fadzli memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah, namun tidak memanggil mana-mana saksi lain bagi menyokong pembelaannya.
Mengikut Seksyen 58(1) CMSA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram pula, undang-undang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SC, Mageswary Karroppiah bersama Pegawai Pendakwa Low Wen Zhen, Jonathan Chin Ter Yang dan Mark Rohan Mahadevan, manakala Fadzli diwakili peguam bela Puvarasan Balaiyah.
Sementara itu, SC menegaskan aktiviti pengurusan dana adalah aktiviti terkawal yang memerlukan lesen sah daripada suruhanjaya berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya hanya berurusan dengan individu atau syarikat yang dilesenkan SC bagi aktiviti terkawal seperti pengurusan dana.
Pelabur juga disaran membuat semakan terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi, menerusi kemudahan Investment Checker yang disediakan oleh SC sebelum membuat keputusan melabur.
























