BH Online
Ringkasan Berita

Kekuatan ekonomi Malaysia didorong kitaran AI, pelbagai destinasi eksport

KUALA LUMPUR: Kitaran pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) dan permintaan global terhadap semikonduktor terus menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia, sekali gus membantu negara mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Kekuatan ekonomi Malaysia didorong kitaran AI, pelbagai destinasi eksport

Permintaan terhadap produk berkaitan AI dan semikonduktor menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi Malaysia - NSTP/HARI ANGGARA

KUALA LUMPUR: Kitaran pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) dan permintaan global terhadap semikonduktor terus menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia, sekali gus membantu negara mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Ahli Ekonomi Hong Leong Investment Bank Bhd, Felicia Ling, berkata Malaysia memperoleh manfaat daripada kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global yang kini dipacu perkembangan AI, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, peningkatan pertumbuhan ekonomi Malaysia berbanding unjuran asal sebahagian besarnya disumbangkan oleh kitaran teknologi global, khususnya permintaan terhadap produk berkaitan AI dan semikonduktor.

"Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan itu dan kami melihat kitaran AI sedang membantu pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam sesi taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia bagi Separuh Kedua 2026 secara maya, hari ini.

Ling berkata, kekuatan ekonomi Malaysia turut disokong oleh kepelbagaian destinasi eksport apabila negara tidak bergantung kepada satu pasaran semata-mata.

Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala Kesatuan Eropah (EU) sebanyak tujuh peratus, dengan baki 80 peratus lagi disalurkan ke pasaran lain termasuk China, Singapura, Jepun dan negara serantau.

Katanya, kepelbagaian pasaran dan produk eksport itu menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan sekiranya berlaku kelembapan di mana-mana ekonomi utama dunia.

"Walaupun ekonomi global terus berdepan risiko geopolitik dan perdagangan, Malaysia masih mempunyai asas pertumbuhan yang disokong oleh sektor pembuatan, perkhidmatan, pelaburan serta momentum AI yang terus berkembang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi ekonomi yang positif di peringkat makro tidak semestinya diterjemahkan kepada pengalaman yang sama di peringkat syarikat dan rakyat.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat prestasi melebihi lima peratus, pengalaman sebenar setiap sektor adalah berbeza mengikut struktur industri dan model perniagaan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare Bhd, Mohd Khairul Izzad Shamsudin, berkata impak pemulihan ekonomi tidak berlaku secara seragam merentas semua sektor.

Beliau berkata, sektor penjagaan kesihatan kekal berdaya tahan kerana permintaannya berasaskan keperluan, manakala sektor pengguna pula berdepan pengguna yang semakin berhati-hati dan lebih mementingkan nilai dalam setiap perbelanjaan.

"Persekitaran makro hanyalah latar belakang kepada operasi syarikat. Ia tidak menentukan hasil sesuatu perniagaan. Yang membezakan prestasi sesebuah syarikat ialah pelaksanaan strategi," katanya.

Beliau berkata, syarikat yang mempunyai kunci kira-kira kukuh, disiplin dalam peruntukan modal, kuasa penetapan harga dan keupayaan bertindak pantas lebih berupaya mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

Menurutnya, walaupun sentimen perniagaan memasuki separuh kedua tahun ini lebih positif, syarikat masih perlu memberi tumpuan kepada asas perniagaan dan kecekapan operasi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

Mengulas cabaran semasa, Mohd Khairul Izzad berkata, tekanan kos operasi masih berterusan susulan kenaikan kos bahan import, farmaseutikal, peralatan perubatan, tenaga kerja dan usaha membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Dalam keadaan itu, katanya, syarikat tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pengurangan kos, sebaliknya perlu meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi termasuk AI.

"Kos tidak dapat dielakkan, tetapi masih banyak yang boleh dilakukan dari sudut produktiviti. AI perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuhkan daya saing," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan