BH Online
Ringkasan Berita

Inisiatif Program Baja Rahmah bantu ringankan kos petani kecil

KUALA LUMPUR: Inisiatif Program Baja Rahmah diperkenalkan sebagai langkah intervensi pasaran bagi membantu mengurangkan beban kos input pertanian khususnya kepada petani kecil.
Inisiatif Program Baja Rahmah bantu ringankan kos petani kecil

Pengerusi Yayasan Rahmah Malaysia, Mohd Bukhari Bachok (kiri) dan Zulkifli ketika ditemu bual di Kuala Lumpur - NSTP/ AHMAD UKASYAH

KUALA LUMPUR: Inisiatif Program Baja Rahmah diperkenalkan sebagai langkah intervensi pasaran bagi membantu mengurangkan beban kos input pertanian khususnya kepada petani kecil.

Ia dihasilkan melalui model kerjasama antara Yayasan Rahmah Malaysia dan pemain industri serta perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia, Zulkifli Mohamed, berkata program itu bukanlah subsidi kerajaan secara langsung, sebaliknya dilaksanakan melalui pendekatan fasilitasi antara pemain industri dan petani.

"Pihak yayasan berperanan sebagai penghubung bagi menyelaraskan harga, kualiti dan mekanisme bekalan bersama industri yang terbabit. Kami bertindak sebagai fasilitator antara industri dan petani. Industri yang berminat bekerjasama akan membantu menentukan mekanisme harga dan bekalan.

"Baja elemen yang sangat penting untuk meningkatkan produktiviti pertanian. Apabila harga melonjak, kami tidak menolak kemungkinan ada petani terpaksa mengurangkan penggunaan baja demi menjimatkan kos.

"Menyedari beban yang ditanggung petani, kami berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memperkenalkan Program Baja Rahmah. Usaha ini bertujuan membantu mengurangkan kos input petani supaya mereka tidak perlu mengorbankan kuantiti baja diperlukan tanaman," katanya kepada BH dalam sesi temu bual, baru-baru ini.

Yayasan Rahmah Malaysia melancarkan Program Baja Rahmah Untuk Rakyat pada 12 Jun lalu, sebuah inisiatif yang bertujuan membantu petani, pekebun kecil dan komuniti mendapatkan baja berkualiti pada harga yang lebih mampu milik.

Program ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kos input pertanian, malah menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui peningkatan hasil pengeluaran makanan tempatan.

Tambah Zulkifli, melalui program itu, baja dijual pada harga sekitar RM79 bagi 50 kilogram (kg), berbanding harga pasaran semasa yang dianggarkan sekitar RM105 hingga RM140, sekali gus memberi penjimatan ketara kepada petani kecil.

"Perbezaan harga ini memberi kesan besar kepada kos operasi petani kecil yang mengusahakan satu hingga dua ekar tanah.

Fasa awal program membabitkan sekitar 30,000 beg baja dan menyasarkan petani di seluruh negara dengan keutamaan kepada pengusaha berskala kecil berbanding ladang komersial besar," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program turut membabitkan rakan logistik bagi memastikan pengedaran dilakukan secara lebih efisien, termasuk melalui platform dalam talian.

Dalam pada itu, beliau mengakui penyertaan industri adalah berbeza-beza dan bergantung kepada kesediaan pemain pasaran untuk terbabit dalam inisiatif itu.

"Tidak semua pihak menyertai serentak, tetapi kami alu-alukan kerjasama industri mempunyai keinginan untuk membantu menstabilkan kos.

"Kepada pihak industri, kami menyeru agar terus menerapkan semangat 'Rahmah' untuk saling membantu, khususnya dalam mendepani kos pengeluaran barangan.

"Kepada pihak kerajaan pula, kami amat berharap agar program komuniti seperti ini terus disambut baik dan disokong memandangkan kerajaan mempunyai akses yang lebih luas kepada komuniti petani pada peringkat akar umbi," katanya.

Zulkifli berkata, inisiatif seperti Baja Rahmah adalah sebahagian usaha lebih luas di bawah konsep Payung Rahmah yang bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pendekatan kerjasama rentas sektor.

Video Terkini

Berita Berkaitan