KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mewujudkan pusat sehenti pembiayaan industri semikonduktor bagi merapatkan jurang antara sektor teknologi tinggi dan pasaran modal, sekali gus mempercepatkan peralihan negara daripada sekadar hab pembuatan kepada pemilik teknologi serta harta intelek (IP).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata pusat berkenaan dicadangkan dibangunkan di kawasan kluster teknologi negara seperti Pulau Pinang dan Kulim bagi menghimpunkan institusi kewangan, pelabur, syarikat teknologi serta pakar industri dalam satu ekosistem.
Beliau berkata, kewujudan pusat itu mampu menyediakan penyelesaian pembiayaan lebih tersusun kepada syarikat semikonduktor dan teknologi tinggi, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi bertaraf global.
"Malaysia mempunyai bakat, syarikat dan ekosistem teknologi yang kukuh, namun kita masih kekurangan modal yang benar-benar memahami keperluan industri semikonduktor. Jurang inilah yang perlu dirapatkan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium The Edge-HSBC E&E 2026 di sini, hari ini.
Chin Tong berkata, pusat sehenti itu bukan sekadar menawarkan pembiayaan, malah menjadi platform yang menghubungkan syarikat teknologi dengan bank, dana pelaburan, firma modal teroka, agensi penarafan serta pakar penilaian teknologi.
Beliau berkata, Pulau Pinang dan Kulim sudah memiliki kelompok syarikat semikonduktor serta tenaga mahir bertaraf dunia, namun ekosistem kewangan masih tertumpu di Kuala Lumpur, sekali gus mewujudkan jurang geografi antara modal dan industri.
Katanya, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Silicon Valley di Amerika Syarikat, Hsinchu di Taiwan dan Brainport Eindhoven di Belanda yang berkembang hasil gabungan penyelidikan, bakat serta akses kepada modal yang kukuh.
Menurutnya, Malaysia sebenarnya mempunyai kapasiti kewangan mencukupi untuk melonjakkan industri semikonduktor memandangkan kebanyakan syarikat tersenarai dalam sektor itu masih mempunyai tahap hutang rendah berbanding syarikat global.
"Ini bukan isu syarikat tidak mampu meminjam, tetapi lebih kepada pasaran kredit dan industri yang masih belum benar-benar memahami antara satu sama lain.
"Wang dan teknologi masih belum bercakap dalam bahasa yang sama," katanya.
Chin Tong berkata, antara cabaran utama industri ialah kekurangan pelabur domestik yang mempunyai kepakaran mendalam dalam sektor teknologi tinggi, selain kekurangan pakar penilaian aset teknologi serta liputan penarafan kredit terhadap syarikat semikonduktor tempatan.
Katanya, Malaysia memerlukan lebih ramai profesional yang memahami kedua-dua bidang kejuruteraan dan kewangan bagi membantu institusi kewangan menilai risiko serta potensi syarikat teknologi dengan lebih tepat.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan sedang memperkukuh ekosistem pembiayaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program SemiconStart bagi membantu syarikat pemula niaga semikonduktor menjadi lebih bersedia menerima pelaburan.
Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Bhd turut menyediakan subsidi kadar faedah bagi pembiayaan sektor semikonduktor termasuk projek penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menyediakan kemudahan pembiayaan bersama antara kerajaan dan sektor swasta.
Chin Tong berkata, pendekatan kerajaan adalah mengurangkan risiko pelaburan, menyediakan pembiayaan padanan serta mempertemukan pemain industri dengan penyedia modal, manakala sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
"Usaha meningkatkan pemilikan teknologi tempatan penting kerana syarikat yang menguasai reka bentuk, IP dan produk sendiri mampu menawarkan margin keuntungan lebih tinggi, sekali gus membolehkan pembayaran gaji yang lebih kompetitif kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini," katanya.
























