BH Online
Ringkasan Berita

Aeronas bukti kemampuan Malaysia bina pesawat

MALAYSIA melakar satu lagi pencapaian bersejarah dalam industri aeroangkasa apabila kini memiliki pesawat buatan tempatan yang dibangunkan, direka bentuk dan dihasilkan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd.
Aeronas bukti kemampuan Malaysia bina pesawat

Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra, Pengarah Urusan Aeronas Aerocraft Sdn Bhd.

MALAYSIA melakar satu lagi pencapaian bersejarah dalam industri aeroangkasa apabila kini memiliki pesawat buatan tempatan yang dibangunkan, direka bentuk dan dihasilkan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd.

Kejayaan itu bukan sahaja menandakan keupayaan negara menghasilkan pesawat sendiri, malah membuktikan kepakaran tempatan kini berada pada tahap yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa apabila berjaya meraih keyakinan pembeli dari luar negara.

Pengarah Urusan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra, berkata Malaysia selama ini mengukuhkan ekosistem aeroangkasa dengan menjadi hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta pengeluar komponen aeroangkasa untuk syarikat global, namun masih tidak mempunyai keupayaan mengeluarkan pesawat jenama tempatan.

Namun, menerusi Aeronas, negara kini mula membuktikan kemampuannya menghasilkan pesawat lengkap yang boleh dijual dan diterbangkan ke pasaran global.

Katanya, pihaknya melaksanakan pengambilalihan strategik daripada MAEL Aircraft Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan Aeronas secara rasmi memperolehi pemilikan teknologi dan hak program pesawat yang seterusnya di bawa pulang ke Malaysia bagi tujuan pembangunan, pengeluaran, serta pengkomersialan tempatan.

bhaero03

"Ramai yang tanya kenapa perlu laksanakan pengambilalihan. Ramai yang tidak faham jika kita mahu membangunkan pesawat dari kosong, mungkin kita perlu menunggu 10 hingga 15 tahun lagi serta menanggung kos pembangunan bernilai ratusan juta dolar.

"Namun, dengan memperoleh program yang sudah diperakui, Malaysia dapat melangkah lebih pantas dan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran, pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan industri aeroangkasa negara.

"Program pesawat yang dibangunkan Aeronas adalah berasaskan platform pesawat yang mempunyai Pensijilan Type Certificate Part 23 yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS, piawaian keselamatan dan pensijilan paling berprestij dalam industri penerbangan awam dunia bagi kategori pesawat ringan," katanya kepada BH.

Raja Shazreen berkata, Aeronas kini mengendalikan kemudahan pembuatan di Senai serta Iskandar Puteri, Johor dan sedang memperluaskan keupayaan pengeluarannya menerusi pembangunan kemudahan baharu yang dijadual mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, kemudahan semi pengeluaran Aeronas ketika ini berupaya menghasilkan sehingga 30 pesawat setahun, manakala kemudahan pembuatan penuh yang dirancang dijangka mampu meningkatkan kapasiti kepada 60 pesawat setahun bagi setiap barisan pengeluaran.

Malah, katanya, walaupun ketika ini hanya 78 peratus kerja pembuatan dilaksanakan di dalam negara, namun angka itu dijangka meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Kami juga menggunakan 100 peratus kandungan bahan mentah dan rantaian bekalan tempatan untuk pembuatan pesawat ringan ini, sekali gus mencerminkan komitmen dan keyakinan kami terhadap kualiti produk buatan Malaysia.

"Apabila pengeluaran penuh dilaksanakan kelak, sebanyak 450 pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkelas dunia dapat diwujudkan. Langkah ini sekali gus menyokong aspirasi kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium," katanya.

Tempahan bernilai RM357j

Aeronas ketika ini menerima tempahan terkumpul sebanyak 50 unit pesawat ringan bernilai AS$85 juta (RM357 juta) membabitkan pesawat model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II berkapasiti enam tempat duduk.

Penghantaran pertama sebanyak 15 pesawat dijadualkan bermula secara berperingkat pada suku pertama dan kedua 2027 bagi menyokong pembangunan operasi sekolah penerbangan dan pajakan pesawat Konsortium Wholechoice di rantau Asia.

Ketika ditanya mengenai persepsi pembeli mengenai pesawat buatan Malaysia, Raja Shazreen berkata, kehendak pembeli pesawat adalah berbeza dengan pembeli kenderaan lain kerana mereka tidak melihat kepada negara pengeluar, tetapi kepada pensijilan yang dimiliki pengeluar.

Beliau berkata, Aeronas mempunyai pensijilan dari FAA yang diperakui antarabangsa dan bagi sesebuah syarikat mendapatkan pensijilan FAA juga tidak mudah kerana ia memerlukan tempoh masa dan pematuhan yang ketat.

Justeru, katanya, pembeli memberikan kepercayaan kepada Aeronas, tambahan pula Malaysia memang dikenali sebagai hab OEM dan MRO industri aeroangkasa global dengan kehadiran pelbagai jenama utama global di negara ini.

"Malaysia sudah diperakui dalam industri ini pada peringkat global, sekali gus tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan pembeli.

Pesawat buatan Aeronas juga sesuai untuk digunakan oleh pembeli serantau dan Asia kerana selain dijadikan pesawat komersial, ia boleh diubah menjadi pesawat untuk kegunaan kargo, sukan udara dan sebagainya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan