KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Oriental Interest Bhd (OIB) berhasrat mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Chin Hin (Jitra) Sdn Bhd (CHJSB) dan CHJ Motor Holdings Sdn Bhd (CMHSB) pada harga RM280 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, OIB memaklumkan telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan LLSB 1980 Holdings Sdn Bhd membabitkan pengambilalihan kedua-dua syarikat berkenaan.
"Cadangan ini memberi peluang kepada kumpulan untuk mengembangkan portfolio perniagaan dengan menceburi segmen perniagaan baharu yang dijangka menyediakan sumber pendapatan tambahan serta memperluaskan asas pendapatan kumpulan.
"Langkah ini juga sejajar dengan objektif dan strategi kumpulan untuk mencatat pertumbuhan mampan menerusi pelaburan strategik dan pengambilalihan yang berpotensi mendorong kepada peningkatan prospek jangka panjang kumpulan serta mewujudkan nilai kepada pemegang saham OIB," menurutnya.
Jelas OIB, cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian 30 juta saham biasa CHJSB dan enam saham biasa dalam CMHSB yang mewakili pegangan ekuiti sebanyak 100 peratus dalam setiap syarikat.
Pertimbangan pembelian RM280 juta itu akan dilunaskan menerusi penerbitan 76.92 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM1.30 sesaham serta 180 juta saham keutamaan boleh tebus baharu yang tidak boleh ditukar pada harga terbitan RM1.00 sesaham.
OIB memaklumkan, apabila pengambilalihan itu selesai kelak, Chin Hin (Jitra) dan CHJ Motor Holdings akan menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan berkenaan.
"Cadangan pengambilalihan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan kumpulan di masa depan selain membolehkan kumpulan mengembangkan serta mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatannya serta mengurangkan kebergantungan kepada segmen perniagaan sedia ada," menurutnya.
Dalam kenyataan berasingan, OIB menyifatkan cadangan pengambilalihan itu melibatkan transaksi pihak berkaitan dan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Cadangan pengambilalihan itu juga dijangka dapat dimuktamadkan pada suku keempat 2026 dan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham yang tidak berkepentingan serta memenuhi semua syarat terdahulu yang berkaitan.
-BERNAMA
























