BH Online
Ringkasan Berita

TNB, Air Selangor meterai dua perjanjian bagi perkukuh daya tahan tenaga dan air negara

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini memeterai kerjasama strategik penting bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara menerusi pemeteraian Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA).
TNB, Air Selangor meterai dua perjanjian bagi perkukuh daya tahan tenaga dan air negara

Fadillah (tengah) menyaksikan Shamsul (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Adam Saffian (dua dari kanan) - Foto ihsan TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini memeterai kerjasama strategik penting bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara menerusi pemeteraian Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA).

Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperluas penyelesaian utiliti bersepadu yang meningkatkan kecekapan infrastruktur awam kritikal, di samping menyokong aspirasi negara ke arah kemampanan, peralihan tenaga dan jaminan keselamatan bekalan air.

Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor yang juga loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).

Apabila siap sepenuhnya pada 2031, loji ini dijangka membekalkan air terawat bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perjanjian ini juga menjadikan Loji Rawatan Air Sungai Rasau sebagai loji rawatan air pertama di Malaysia yang menerima bekalan elektrik voltan tinggi secara terus pada voltan 132 kV, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan operasi salah satu aset infrastruktur air paling strategik negara.

Selain kerjasama itu, TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC), juga akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada kemudahan Air Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur menerusi CESA dengan konsesi selama 20 tahun, sekali gus menjadikan Air Selangor sebagai syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan.

Melalui perkhidmatan TNEC, kemudahan berkenaan dijangka menikmati kebolehpercayaan sistem yang lebih tinggi, prestasi tenaga yang lebih mantap serta kecekapan operasi yang lebih baik berbanding sistem pendinginan konvensional secara kendiri.

Pertukaran perjanjian itu disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, dalam satu majlis yang berlangsung di sini.

Majlis disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Pengerusi Air Selangor.

Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam meningkatkan daya tahan operasi, mempercepat usaha kelestarian serta memperkenalkan penyelesaian infrastruktur inovatif yang memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Shamsul berkata, kerjasama ini membuktikan bagaimana integrasi yang lebih erat antara sektor tenaga dan sektor air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan. Dengan menggabungkan kepakaran bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari," katanya.

Sementara itu, Adam Saffian berkata kerjasama itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Air Selangor untuk memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia serta ahli kepada Leading Utilities of the World (LUOW), memastikan operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan merupakan teras kepada janji jenama kami untuk menyampaikan kegembiraan dalam setiap titisan kepada pengguna, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi Selangor sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

Kerjasama ini mengukuhkan peranan saling melengkapi antara TNB dan Air Selangor dalam memastikan kesinambungan dua utiliti awam paling kritikal negara.

Melalui integrasi penyelesaian tenaga yang inovatif dengan infrastruktur air yang strategik, kedua-dua organisasi terus menyokong aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan air negara, di samping mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam pembangunan infrastruktur kritikal.

Video Terkini

Berita Berkaitan