BH Online
Ringkasan Berita

HeiTech Padu, Crux Education bekerjasama bangun keupayaan tenaga kerja

KUALA LUMPUR: HeiTech Padu Bhd (HeiTech) menjalinkan kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Crux Education Sdn Bhd (Crux) bagi membangunkan, melaksanakan dan mengkomersialkan program latihan, pendidikan eksekutif serta peningkatan keupayaan tenaga kerja.
HeiTech Padu, Crux Education bekerjasama bangun keupayaan tenaga kerja

HeiTech Padu Bhd - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: HeiTech Padu Bhd (HeiTech) menjalinkan kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Crux Education Sdn Bhd (Crux) bagi membangunkan, melaksanakan dan mengkomersialkan program latihan, pendidikan eksekutif serta peningkatan keupayaan tenaga kerja.

Menurut HeiTech, kerjasama itu akan menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi memuncul, keselamatan siber dan risiko digital, pembangunan kepimpinan serta pengurusan, pensijilan teknikal teknologi maklumat dan peningkatan kemahiran korporat.

"Program itu menyasarkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi korporat," menurut HeiTech dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech, Syed Omar Albar Syed Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Crux, Dr Darren Ng, di sini.

Syed Omar berkata, organisasi perlu melabur untuk pekerja mereka ketika teknologi terus mengubah industri dan sifat pekerjaan.

"Teknologi mungkin membolehkan transformasi berlaku, tetapi manusia yang melaksanakan perubahan. Organisasi tidak boleh hanya mengharapkan pekerja mereka menyesuaikan diri tanpa bimbingan.

"Kita perlu memberikan mereka pengetahuan, sokongan dan keyakinan untuk berkembang seiring dengan perubahan teknologi," katanya.

Syed Omar berkata, program itu akan menggabungkan pandangan praktikal serta pengajaran yang diperoleh daripada persekitaran operasi sebenar, sekali gus membolehkan peserta memahami bagaimana AI boleh digunakan secara bertanggungjawab, mengenal pasti bidang yang boleh menjana nilai serta mengurus risiko yang berkaitan.

Beliau berkata, daya tahan keselamatan siber turut bergantung bukan sahaja kepada teknologi, tetapi juga tadbir urus, proses dan tingkah laku manusia.

Sementara itu, Ng berkata kerjasama itu akan menggabungkan kualiti akademik dengan keperluan industri bagi membantu golongan profesional serta organisasi mengharungi teknologi memuncul, mengurus risiko baharu dan mengekalkan daya saing.

Di bawah kerjasama itu, Crux akan menyumbang kepakarannya dalam reka bentuk kurikulum, penyusunan akademik, pensijilan profesional, penempatan tenaga pengajar serta menyediakan latihan.

HeiTech pula akan menerajui penglibatan pasaran, hubungan institusi, penjenamaan, kedudukan komersial serta pengurusan pelanggan.

-BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan