KUALA LUMPUR: OCBC Malaysia, yang terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd memeterai kerjasama jaminan baharu dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk kemudahan jaminan RM1.3 bilion bagi memperluas pembiayaan yang disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Peruntukan terbaharu ini dijangka membawa manfaat kepada lebih 3,000 PKS.
Menerusi kerjasama jangka panjang dengan CGC, OCBC Malaysia menyokong lebih daripada 10,000 PKS dengan pembiayaan RM4.2 bilion bersandarkan jaminan CGC, meliputi penyelesaian pembiayaan Islam dan konvensional.
Dengan kemudahan terkini berjumlah RM1.3 bilion, OCBC Malaysia akan meningkatkan liputan jaminan kepada RM5.5 bilion.
Kerjasama itu dimeterai oleh Ketua Perniagaan Sedang Berkembang OCBC Malaysia, Chan Kok Leong dan Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Sean Tan dalam satu majlis di sini, hari ini.
Majlis disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen; Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar.
Chor Sen berkata, kerjasama dengan CGC mencerminkan komitmen OCBC Malaysia untuk memperkasakan PKS di negara ini.
"PKS kini perlu menempuh persekitaran perniagaan dinamik sambil mempersiapkan diri untuk merebut peluang pertumbuhan masa depan. Sambil keperluan berubah, capaian kepada sokongan kewangan yang sewajarnya amat penting untuk membina daya tahan, meningkatkan daya saing dan memacu kejayaan jangka panjang.
"Menerusi kerjasama dengan CGC, kami memudahkan PKS untuk mendapatkan penyelesaian fleksibel dan responsif yang menyokong perniagaan pada peringkat pertumbuhan berbeza, daripada perusahaan sedang berkembang kepada syarikat yang sudah mapan.
"Menerusi usaha sama ini, kami berharap untuk membantu PKS meluaskan operasi dengan yakin, mengukuhkan perniagaan masing-masing dan memberikan sumbangan bermakna kepada kemajuan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Nazri berkata pakatan dengan OCBC Malaysia menunjukkan bahawa kerjasama kukuh antara institusi boleh membuka peluang pembiayaan yang bermakna bagi syarikat-syarikat perniagaan yang berdaya maju dari segi komersial, tetapi pertumbuhannya dikekang oleh ketiadaan cagaran dan bukannya keupayaan.
"Dengan menggabungkan capaian pasaran OCBC dengan kepakaran jaminan CGC, kami membina ekosistem pembiayaan lebih kukuh yang membolehkan lebih banyak PKS untuk memainkan peranan yang bermakna dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
Pembiayaan berjumlah RM1.3 bilion yang disokong oleh kemudahan jaminan kini dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada OCBC Malaysia, khususnya komuniti Bumiputera.
Di samping itu, skim untuk menyokong segmen bersasar di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) turut disediakan.
























