BH Online
Ringkasan Berita

Jambatan Batang Lupar bukti keupayaaan UEM Edgenta urus projek

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mengukuhkan lagi keupayaan pengurusan projek menerusi pelaksanaan Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Utama Kedua Sarawak (CSTR), susulan kejayaan menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Jambatan Batang Lupar bukti keupayaaan UEM Edgenta urus projek

Jambatan Batang Lupar 1 dirasmikan oleh Premier Sarawak pada 9 Julai lalu - Foto ihsan UEM Edgenta

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mengukuhkan lagi keupayaan pengurusan projek menerusi pelaksanaan Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Utama Kedua Sarawak (CSTR), susulan kejayaan menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Tunjang utama kepada projek mega infrastruktur bernilai RM11 bilion ini ialah Jambatan Batang Lupar 1 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak pada 9 Julai lalu.

Sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia, struktur ikonik ini bukan sekadar satu pencapaian kejuruteraan, malah berfungsi sebagai penghubung utama yang menyatukan rangkaian jalan pesisir negeri.

Di sebalik kejayaan menghubungkan Sebuyau dan Triso, terselit kisah sebenar pembinaan Jambatan Batang Lupar 1, satu perjalanan yang mencerminkan ketekunan dan keazaman kejuruteraan dalam merealisasikan projek ini.

Diterajui oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) sebagai peneraju utama projek, pembinaan struktur mega merentasi salah satu sungai paling mencabar di negeri ini memerlukan tadbir urus teknikal yang amat rapi.

Bekerjasama rapat dengan JKR Sarawak, UEM Edgenta menyediakan pengurusan projek serta penyeliaan teknikal yang kritikal bagi memastikan visi besar ini dilaksanakan dengan selamat dan cekap.

Merentasi muara Batang Lupar sepanjang 4.844 kilometer, jambatan kabel pancang ini melintasi halangan geografi utama yang selama ini memisahkan komuniti di kawasan pesisir.

Jambatan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian CSTR yang merangkumi 14 jambatan utama, termasuk lima jambatan kabel penahan yang menjadi mercu tanda pembangunan infrastruktur Sarawak.

Pembinaan struktur sebesar ini memerlukan pemasangan cerucuk yang menjangkau jauh ke dasar sungai yang kompleks serta pengurusan ratusan ribu tan bahan binaan.

Sebagai perunding pengurusan projek (PMC), UEM Edgenta dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelbagai kontraktor, memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa, serta memastikan perlaksanaan projek mengikut jadual walaupun berdepan cabaran persekitaran yang tidak menentu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan, berkata menghubungkan jurang geografi yang begitu besar memerlukan penyelarasan keupayaan teknikal yang luar biasa.

"Di UEM Edgenta, penyelesaian infrastruktur kami direka untuk mengurus tahap kerumitan seperti ini, sekali gus memastikan integriti struktur serta pengurusan projek Jambatan Batang Lupar 1 memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa tertinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi merealisasikan projek ini, UEM Edgenta memanfaatkan teknologi pengurusan projek terkini.

Projek berskala besar seperti ini memerlukan lebih daripada sekadar pemantauan konvensional kerana ia menuntut ketepatan digital yang tinggi bagi memenuhi spesifikasi yang ketat.

Dengan memanfaatkan analitik pembinaan masa nyata serta pemantauan tapak menggunakan dron, UEM Edgenta bersama pasukan projek berjaya mengekalkan pemantauan menyeluruh sepanjang hampir lima kilometer jajaran jambatan bagi memastikan jaminan kualiti dilaksanakan secara menyeluruh.

Pendekatan berasaskan teknologi ini memastikan setiap komponen dihasilkan dan dipasang mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebelum dibawa ke lokasi pemasangan.

Lebih penting lagi, peranan syarikat di lapangan bukan sekadar tertumpu kepada penyiapan projek. Dengan melibatkan jurutera dan kontraktor tempatan Sarawak secara aktif dalam penggunaan teknologi BIM dan dron, projek ini turut menjadi platform pemindahan ilmu dan kepakaran khusus yang memperkukuh keupayaan tempatan untuk mengendalikan projek mega marin pada masa hadapan.

Cabaran projek Batang Lupar bukan sahaja melibatkan aspek geografi dan struktur, malah turut merangkumi faktor alam sekitar yang sangat mencabar. Sungai ini terkenal dengan fenomena benak yang kuat serta arus yang deras.

Selain itu, Lembangan Batang Lupar merupakan habitat semula jadi kepada antara populasi buaya muara terbesar di rantau ini, yang sinonim dengan legenda Bujang Senang.

Bagi UEM Edgenta, pengurusan keselamatan tapak memerlukan pendekatan yang jauh lebih menyeluruh daripada prosedur operasi biasa.

Tadbir urus kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) diperluaskan melangkaui pengurusan jentera berat dengan merangkumi langkah keselamatan maritim yang ketat, pemantauan pasang surut serta kesedaran terhadap ekologi setempat.

Kejayaan mencapai jutaan jam bekerja tanpa insiden besar dalam persekitaran sungai yang mencabar ini membuktikan budaya keselamatan yang tinggi yang diterapkan oleh syarikat di setiap peringkat pelaksanaan projek.

Video Terkini

Berita Berkaitan