BH Online
Ringkasan Berita

Scoot kekalkan Malaysia pasaran utama dengan 130 penerbangan seminggu

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi Scoot, syarikat penerbangan tambang murah di bawah Kumpulan Singapore Airlines (SIA), didorong oleh permintaan berterusan bagi perjalanan percutian dan perniagaan.
Scoot kekalkan Malaysia pasaran utama dengan 130 penerbangan seminggu

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi Scoot, syarikat penerbangan tambang murah di bawah Kumpulan Singapore Airlines (SIA), didorong oleh permintaan berterusan bagi perjalanan percutian dan perniagaan.

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, berkata syarikat penerbangan itu kini menawarkan perkhidmatan ke 12 destinasi di Malaysia dengan 130 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Singapura.

Chan berkata Scoot turut memperluaskan operasinya di Asia Tenggara menerusi pembukaan pelbagai destinasi baharu serta peningkatan kekerapan penerbangan ke lokasi sedia ada.

"Setakat akhir Jun 2026, Scoot mengendalikan rangkaian 85 destinasi di 18 negara dan wilayah," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Scoot kini mengendalikan lebih 60 pesawat, terdiri daripada 24 Boeing 787 Dreamliner, 30 Airbus A320, sembilan Embraer E190-E2 serta beberapa pesawat model lain.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, Scoot menerbangkan lebih 2.2 juta penumpang ke dan dari Malaysia, meningkat kira-kira 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah ketibaan pelancong hasil kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang semakin dinamik walaupun berdepan persaingan sengit dalam segmen penerbangan tambang murah.

Menurutnya, gabungan faktor itu terus menyokong permintaan kukuh bagi perjalanan udara antara Malaysia dan Singapura.

Chan berkata Malaysia memainkan peranan strategik dalam rangkaian Scoot, disokong hubungan ekonomi dan sosial yang erat antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, Malaysia bukan sahaja menjadi sumber penting bagi penumpang yang melakukan perjalanan terus dari tempat asal ke destinasi akhir, malah turut menyumbang kepada trafik penumpang transit ke rangkaian Kumpulan SIA melalui Singapura.

"Dalam dua bulan pertama tahun 2026, seramai 3.4 juta pelawat Singapura telah melancong ke Malaysia, merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.

Scoot kini menawarkan penerbangan ke 12 destinasi di Malaysia iaitu Ipoh, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi, Melaka, Miri, Pulau Pinang, Sibu dan Subang.

Ini menjadikan Scoot satu-satunya syarikat penerbangan asing yang menawarkan rangkaian destinasi paling meluas di Malaysia.

Chan berkata laluan Kuala Lumpur-Singapura kekal sebagai antara koridor udara antarabangsa paling sibuk di dunia, dengan permintaan yang terus berdaya tahan bagi perjalanan percutian dan perniagaan.

Beliau berkata prospek pelancongan Malaysia dijangka terus dipacu oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, manakala Scoot berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi pelancongan negara menerusi rangkaian serantau yang luas.

Bagi memanfaatkan pertumbuhan itu, Scoot memeterai kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Tourism Malaysia pada Ogos 2025 bagi mempromosikan Malaysia di pasaran utama termasuk Singapura, China, Australia dan Indonesia.

Chan berkata kerjasama berkenaan akan berlangsung sehingga 2028 dengan matlamat meningkatkan ketibaan pelawat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif pemasaran bersama pemain industri pelancongan.

Beliau berkata Scoot kini mengendalikan tujuh penerbangan seminggu ke Subang menggunakan pesawat keluarga Airbus A320 dan akan terus menilai peluang untuk memperluaskan operasinya di Malaysia berdasarkan permintaan perjalanan, pertimbangan operasi serta strategi rangkaian syarikat.

Asia Tenggara kekal enjin pertumbuhan

Selain Malaysia, Chan berkata Asia Tenggara akan terus menjadi enjin pertumbuhan utama Scoot dalam beberapa tahun akan datang, didorong peningkatan pendapatan boleh guna, pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan minat yang semakin tinggi terhadap perjalanan jarak dekat pada tambang berpatutan.

Katanya, Scoot terus memperluaskan operasi serantaunya sepanjang tahun lalu.

Dalam tempoh itu, Scoot melancarkan perkhidmatan ke Chiang Rai dan Palembang pada Januari, diikuti Medan dan Tokyo Haneda pada Februari dan Mac, sebelum menambah destinasi Belitung serta Pontianak di Indonesia pada Mei dan Jun.

Scoot turut meningkatkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi termasuk Bali, Jakarta, Labuan Bajo, Lombok, Manado, Phuket dan Sibu, selain memperkukuh perkhidmatan ke Changsha, Okinawa dan Vienna sebagai memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Chan berkata Scoot akan terus melaksanakan peluasan rangkaian secara berdisiplin dan berpandukan permintaan merentasi pasaran jarak dekat, sederhana dan jauh, di samping mengekalkan rangkaian yang mampan dari segi komersial serta lebih pelbagai.

Pelaburan armada dan digital

Menyentuh mengenai armada, Chan berkata pesawat Embraer E190-E2 membolehkan Scoot mengendalikan penerbangan ke bandar sekunder dan lapangan terbang yang mempunyai kekangan infrastruktur, sekali gus melengkapkan operasi pesawat Airbus A320 dan Boeing 787 yang lebih besar.

Pada Mei lalu, Scoot mengumumkan tempahan lima pesawat Airbus pelbagai model termasuk Airbus A320neo, selain menggunakan opsyen bagi memperoleh enam lagi pesawat, menjadikan jumlah tempahan keseluruhan kepada 20 pesawat.

Menurut Chan, pesawat baharu yang dijadual dihantar secara berperingkat mulai 2028 akan memberikan fleksibiliti lebih besar untuk menambah kapasiti di pasaran serantau, melancarkan laluan baharu dan mengukuhkan ketersambungan kepada rangkaian Kumpulan SIA.

Beliau berkata Boeing 787 Dreamliner kekal menjadi tulang belakang operasi jarak sederhana dan jauh Scoot yang meliputi Australia, Asia Utara, India Utara, Asia Barat serta Eropah, namun syarikat itu belum merancang untuk menambah armada pesawat badan lebar dalam masa terdekat.

Selain peluasan rangkaian dan armada, Chan berkata Scoot akan terus melabur dalam pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh pengalaman pelanggan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan pembantu maya berasaskan AI dikenali sebagai Marvie, peluasan kemudahan layan diri di lapangan terbang, fungsi khidmat pelanggan berteraskan AI serta sistem operasi berasaskan teknologi bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh pengurusan gangguan dan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar. - Bernama

Video Terkini

Berita Berkaitan