KUALA LUMPUR: Jenama minuman teh berinovatif, MOMOYO memacu pengembangan pasaran di Malaysia dengan mempertaruhkan pematuhan pensijilan Halal serta 99 peratus tenaga kerja warga tempatan sebagai strategi perniagaan utamanya.
Walaupun baharu memasuki pasaran negara ini pada April 2024, jenama berkenaan mencatatkan pertumbuhan pantas apabila kini memiliki 220 cawangan dan menyasarkan untuk membuka lebih 300 cawangan menjelang akhir tahun ini.
Pengurus Besar Momoyo Malaysia, Alex Tan berkata, syarikatnya turut melancarkan kempen francais bagi mengembangkan lagi rangkaian MOMOYO kepada 500 cawangan di seluruh negara menjelang 2027.
Menurut Tan, sasaran berkenaan diletakkan selaras dengan peningkatan permintaan pasaran terhadap minuman premium pada harga mampu milik serta konsep makanan berasaskan kemudahan.
Beliau menambah, MOMOYO berjaya membezakan dirinya dalam pasaran sektor minuman Malaysia yang sangat kompetitif menerusi pelaburan terhadap tenaga kerja yang terdiri daripada 99 peratus rakyat Malaysia, inovasi berterusan, serta jaminan pensijilan Halal.
"Pertumbuhan sektor ini turut disokong oleh permintaan pengguna yang berdaya tahan, urbanisasi serta perubahan corak penggunaan, khususnya dalam kalangan pengguna muda yang mencari tawaran gaya hidup premium pada harga mampu milik," katanya.
Sejak memasuki pasaran tempatan, jenama berkenaan memposisikan penawarannya menerusi julat harga kompetitif antara RM5 hingga RM10, menyasarkan demografi pengguna muda menerusi pilihan teh buah-buahan, minuman matcha dan pelbagai minuman premium.
Berpegang kepada falsafah "More & More Young, Always More For You", syarikat berkenaan mengekalkan komitmen terhadap penyampaian produk berkualiti sambil memastikan ia sentiasa berada pada tanda harga yang rasional.
Selain itu, MOMOYO turut melaksanakan strategi penyetempatan cita rasa dengan merancang untuk memperkenalkan enam hingga lapan produk baharu setiap tahun bagi disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia seperti perisa cendol, kopi putih, gula Melaka dan minuman berasaskan lemon.
Dalam usaha memperluaskan inovasi produk, syarikat melancarkan Siri Real Matcha yang dipertingkatkan dengan 20 peratus kandungan matcha dan bakal memperkenalkan Siri Fresh Brew, di samping merancang evolusi kepada rangkaian minuman dan bakeri sehenti menerusi tawaran roti segar, kopi premium serta donut.
Bagi perancangan jangka panjang pula, MOMOYO menyasarkan pembukaan sehingga 600 cawangan dengan fokus peluasan ke bandar-bandar peringkat kedua dan pasaran baharu di seluruh negara, berbanding sekadar tertumpu di pusat bandar utama.
Pertumbuhan jenama berkenaan disokong oleh kecekapan rantaian bekalan dan model francais kukuh dari Indonesia, sekali gus memantapkan lagi profil serantau MOMOYO yang kini melepasi 2,000 cawangan di seluruh Asia Tenggara.
























