BH Online
Ringkasan Berita

JAM perluas e-dagang langsung menerusi JAM Bahasa

KUALA LUMPUR: Syarikat e-dagang penstriman langsung tempatan, JAM mempercepat strategi pertumbuhannya menerusi pelancaran segmen pasaran bahasa Melayu, JAM Bahasa, selain membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
JAM perluas e-dagang langsung menerusi JAM Bahasa

JAM telah menjalinkan kerjasama strategik denganpasangan selebriti terkenal tanah air, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang menyertai syarikat sebagai pengasas bersama.

KUALA LUMPUR: Syarikat e-dagang penstriman langsung tempatan, JAM mempercepat strategi pertumbuhannya menerusi pelancaran segmen pasaran bahasa Melayu, JAM Bahasa, selain membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong, berkata pelancaran JAM Bahasa menjadi antara langkah pertumbuhan penting syarikat tahun ini bagi mendekati pengguna berbahasa Melayu yang membentuk komuniti pengguna terbesar di Malaysia.

Katanya, perkembangan itu turut menandakan pengembangan pertama JAM di luar pasaran penonton berbahasa Cina, sekali gus membuka peluang baharu dalam segmen e-dagang langsung tempatan.

Bagi menerajui perniagaan baharu berkenaan, JAM menjalinkan kerjasama strategik dengan pasangan selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang menyertai syarikat itu sebagai pengasas bersama dan bukannya sekadar duta jenama.

Fong berkata, kerjasama itu bertujuan menyelaraskan kepentingan kedua-dua pihak bagi membangunkan pertumbuhan perniagaan jangka panjang, selain membuktikan keyakinan terhadap model perniagaan JAM yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.

"Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang langsung premium masih belum diteroka sepenuhnya.

"Apa yang membakar semangat kami adalah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal. Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL (pempengaruh) berbahasa Cina, memperkasakannya dengan elemen tempatan dan membawanya ke pasaran kaum Melayu," katanya dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan pertumbuhan perniagaan tiga kali ganda pada tahun kedua operasi, mencerminkan peningkatan permintaan daripada jenama serta pencipta kandungan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung profesional.

Bermula dengan menguruskan beberapa KOL di Instagram, JAM kini berkembang menjadi rangkaian pelbagai saluran (MCN) yang merangkumi platform seperti TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram.

Ketika ini, JAM menguruskan kira-kira 10 KOL dengan sokongan 20 kakitangan sepenuh masa yang menyediakan pengurusan bakat, produksi penstriman langsung serta penyelesaian e-dagang hujung ke hujung.

Bagi tahun pertama operasi dari April 2024 hingga Mac 2025, JAM merekodkan nilai barangan kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta, didorong peningkatan kekerapan sesi penstriman langsung, kualiti produksi lebih tinggi serta kadar penukaran jualan yang semakin baik.

Fong berkata, pertumbuhan syarikat dipacu pengoptimuman operasi penstriman langsung selain kejayaan memperluas perniagaan melalui penstriman afiliasi dan kedai.

"Kami telah memperbesarkan barisan pempengaruh dan KOL kami, yang bermaksud jumlah slot live bulanan kini semakin meningkat, dan paling penting, kualiti setiap sesi live menjadi semakin matang.

"Setiap penstriman langsung memberikan data baharu dari segi kawalan rentak, strategi pemilihan produk hinggalah teknik penukaran jualan, yang kami gunakan untuk menambah baik operasi," katanya.

Beliau berkata, JAM turut menjalankan projek rintis bagi perkhidmatan penstriman afiliasi dan kedai pada separuh kedua tahun lalu, dengan hasil memberangsangkan memberi keyakinan untuk mengembangkan segmen itu secara lebih sistematik.

Bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, JAM baru-baru ini membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi 13 bilik produksi serba lengkap.

Kemudahan itu membolehkan pemilik jenama menyerahkan keseluruhan operasi penstriman langsung, termasuk perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, produksi set serta pengurusan jualan masa nyata.

Langkah itu dijangka terus memperkukuh keupayaan JAM dalam memenuhi permintaan pasaran e-dagang langsung yang semakin berkembang di Malaysia.

Video Terkini

Berita Berkaitan