BH Online
Ringkasan Berita

CIMB bank tempatan tunggal terbit sukuk global AS$1.5 bilion

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran modal Islam global apabila menjadi satu-satunya bank tempatan yang dilantik sebagai Pengurus Utama Bersama dan Bookrunner Bersama bagi penerbitan Sukuk Global dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$1.5 bilion oleh kerajaan Malaysia.
CIMB bank tempatan tunggal terbit sukuk global AS$1.5 bilion

Bangunan Menara CIMB di Kuala Lumpur Sentral. FOTO arkib NSTP

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran modal Islam global apabila menjadi satu-satunya bank tempatan yang dilantik sebagai Pengurus Utama Bersama dan Bookrunner Bersama bagi penerbitan Sukuk Global dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$1.5 bilion oleh kerajaan Malaysia.

Dalam urus niaga itu, CIMB bergandingan dengan HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered, sekali gus mencerminkan kekuatan platform pasaran modal hutang serta keupayaannya menghubungkan penerbit berdaulat dengan pelabur institusi di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin, berkata pihaknya berbangga dapat menyokong kerajaan dalam menjayakan penerbitan sukuk berdaulat itu.

"Pelantikan ini mencerminkan kekuatan platform pasaran modal hutang, keupayaan pengedaran global dan kepimpinan berterusan CIMB dalam kewangan Islam.

"Transaksi ini turut membuktikan keupayaan kami menerbit, menyusun dan mengedarkan transaksi sukuk penanda aras kepada pelabur antarabangsa yang pelbagai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut CIMB, institusi itu memainkan peranan penting dalam usaha libat urus bersama pelabur serta proses pembinaan buku tempahan dengan memanfaatkan rangkaian pelabur institusi di Asia, Timur Tengah, Eropah dan pasaran antarabangsa lain.

Penerbitan berkenaan menerima sambutan menggalakkan apabila terlebih langgan sebanyak 4.7 kali dengan buku tempahan memuncak melebihi AS$9.5 bilion.

Selain itu, urus niaga berkenaan turut merekodkan spread paling ketat bagi penerbitan Sukuk Global dolar AS oleh Kerajaan Malaysia.

CIMB berkata, penerbitan itu turut mewujudkan penanda aras baharu bagi penerbitan hutang antarabangsa syarikat Malaysia pada masa depan, di samping menyokong usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai antara hab kewangan Islam terkemuka dunia.

Video Terkini

Berita Berkaitan