KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB), Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM52.5 juta untuk pelaksanaan serta penyiapan kerja-kerja sivil, struktur serta asas voltan rendah mekanikal dan elektrikal (M&E).
KPGB berkata kontrak itu meliputi pelaksanaan, penyiapan, ujian, pembetulan sebarang kecacatan dan semua tanggungjawap yang berkaitan dengan kerja-kerja sivil, struktur dan asas voltan rendah M&E untuk cadangan pembinaan stesen pendaratan pengguna bertenaga 275 kilovolt baharu bagi sebuah pusat data di Lembah Klang.
Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak itu akan bermula pada 23 Julai 2026, dan dijadualkan selesai menjelang 9 Januari 2027.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada tahun hadapan sambil mengukuhkan lagi tempahan dalam tangan sedia ada.
-BERNAMA




















