BH Online
Ringkasan Berita

Zecon bangun loji solar agrivoltaik RM328 juta pacu tenaga hijau Sarawak

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Zecon Bhd, Zecon Renewables (Sarawak) Sdn Bhd (ZRS) telah menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM328 juta kepada Zecon Renewables Sdn Bhd (ZRE).
Zecon bangun loji solar agrivoltaik RM328 juta pacu tenaga hijau Sarawak

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Zecon Bhd, Zecon Renewables (Sarawak) Sdn Bhd (ZRS) telah menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM328 juta kepada Zecon Renewables Sdn Bhd (ZRE).

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, kontrak berkenaan dianugerahkan bagi membangunkan kemudahan fotovoltaik (PV) solar berskala besar berkapasiti 100MWac berkonsepkan agrivoltaik di Taman Teknologi Hijau Kota Petra (KPGTP), Sarawak.

Projek berskala besar berkenaan merupakan inisiatif utama yang menandakan bermulanya peralihan pelan induk KPGTP daripada sekadar fasa perancangan dan kelulusan rasmi kepada tahap pelaksanaan secara fizikal.

Di bawah surat penganugerahan berkenaan, skop kerja penuh EPCC merangkumi pembinaan loji PV solar, kemudahan sambungan, cadangan jambatan sepanjang 130 meter merentasi Sungai Serai, serta infrastruktur tapak dan kerja tanah di Lot 471 KPGTP.

"Sebagai projek tenaga boleh baharu utama di dalam taman berkenaan, ia menetapkan templat bagaimana fasa masa depan akan distrukturkan, dibiayai dan diserahkan," kata Zecon Bhd menerusi kenyataan media berkenaan.

Pihak syarikat turut menambah bahawa langkah progresif berkenaan jelas membuktikan kepada bakal pelabur dan penyewa bahawa KPGTP sedang bergerak secara tegas ke arah menjadi salah sebuah destinasi pelaburan terkemuka di Sarawak.

Meneliti profil pemilikan projek berkenaan, ZRS bertindak sebagai Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang memegang Lesen Elektrik selama 30 tahun berkapasiti 100MWac khusus untuk menjana kelestarian tenaga solar.

Pada bulan Oktober 2025, ZRS telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) berjangka masa 30 tahun dengan Syarikat Sesco Bhd (SEB) untuk menjana dan menghantar tenaga solar kepada pihak utiliti berkenaan.

PPA berkenaan yang menetapkan Tarikh Operasi Komersial Berjadual pada 31 Disember 2027 mampu memberikan kepastian hasil jangka panjang bagi menyokong daya maju komersial, jaminan pembiayaan serta kelancaran operasi projek.

ZRE sebelum ini membuktikan kemampuannya melalui rekod prestasi pemasangan solar atas bumbung 2MWac di Hospital Pakar Kanak-Kanak Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani di Kuala Lumpur, dan kini terus menjejaki peluang baharu di Sarawak dan Sabah.

Melangkaui fasa pertama, baki kapasiti solar sebanyak 300MWac masih tersedia di bawah lesen dikeluarkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) bagi membolehkan bekalan hijau disalurkan terus kepada penyewa industri dengan sokongan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS).

Gabungan kemudahan janaan solar di tapak, sokongan BESS dan kuasa grid daripada SEB ini menjadikan projek berkenaan selari dengan wawasan bersih Zecon Bhd untuk terus menyumbang kepada peralihan agenda rendah karbon negeri Sarawak.

Video Terkini

Berita Berkaitan