KUALA LUMPUR: MBSB Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, telah melupuskan keseluruhan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam MIDF Amanah Asset Management Bhd (MAAM) kepada Tortoise Works Sdn Bhd.
Kumpulan perkhidmatan kewangan itu dalam kenyataan hari ini berkata, pelupusan berkenaan selaras dengan strategi transformasinya untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras dan dijangka tidak memberi kesan kewangan yang ketara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata MAAM telah membina reputasi kukuh sepanjang 34 tahun operasinya dan kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
Sementara itu, Pengarah Tortoise Works, Shan Kamahl Mohammad, berkata syarikat itu komited untuk mengekalkan legasi MAAM sambil meneruskan usaha ke arah pertumbuhan mampan, tadbir urus berdisiplin serta prestasi pelaburan yang kukuh.
MBSB berkata transaksi pelupusan itu telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 9 Julai 2026 dan selesai pada hari ini.
– BERNAMA
























